Friday, January 14, 2011

Al-Quran Penuh Perumpamaan (HARIAN METRO, Jumaat 14 Januari 2010)


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir


AL-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi isinya perlu difahami, dihayati dan diamalkan.

Kitab suci umat Islam yang sarat dengan khazanah kekayaan ilmu Allah ini, seharusnya sentiasa dikaji agar manfaatnya dapat menerangi jalan menuju reda Ilahi.

Kitab suci ini penuh dengan hukum-hakam dan sejarah. Selain itu, ia turut memuatkan sesuatu yang amat menarik untuk diperkatakan iaitu 'perumpamaan'.

Jika diteliti dalam beberapa ayat al-Quran, Allah menerangkan bahawa penurunan ayat al-Quran yang mengandungi perumpamaan ini mengajak manusia sentiasa berfikir.

Inilah kelebihan dan keistimewaan manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras. Akal dapat membezakan antara manusia dengan haiwan serta makhluk Allah yang lain.

Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi saja yang mampu membentuk keperibadian insan yang sentiasa taat pada perintah Penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan ingatlah, perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya" (Surah al-Hasr ayat 21).

Antara tujuan ayat berbentuk perumpamaan berkenaan diturunkan kepada manusia, agar mereka sentiasa berfikir dan memahami maksud gambaran yang dinyatakan dalam ayat itu.

Selain itu, dalam ayat yang lain pula, Allah menyatakan bahawa hanya orang yang memiliki ilmu saja yang bakal mendalami maksud perumpamaan serta memahaminya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perumpamaan-perumpamaan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya." (Surah al-Zumar, ayat 27).

Justeru, wajib bagi individu Muslim berusaha menjadikan diri mereka sebahagian daripada orang yang berilmu. Malahan inilah yang menjadi tuntutan Islam agar umatnya sentiasa mendalami ilmu Allah yang amat luas ini.

Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mampu menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke dalam lembah kesesatan seperti yang termaktub dalam sebuah hadis Rasulullah.

Jadi ada beberapa ayat al-Quran yang mengandungi 'perumpamaan' untuk sama-sama kita fikirkan dan fahami maksudnya.

Sebagai contoh, ayat 261 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji..." (surah al-Baqarah, ayat 261).

Maha besar ilmu dan kekuasaan Allah yang mampu memberi ganjaran yang begitu besar kepada hambanya yang ikhlas dalam melakukan amal kebaikan.

Ayat itu sebenarnya memberi motivasi kepada orang Mukmin agar tidak lupa menyalurkan sedikit daripada rezekinya ke jalan Allah. Sesungguhnya dalam rezeki yang kita peroleh itu, ada hak orang lain yang wajib kita tunaikan.

Selain itu, dalam ayat yang lain Allah membuat perumpamaan yang cukup jelas bagi menggambarkan perihal amal kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Walau sebanyak mana pun amalan mereka di dunia, tanpa iman, segalanya tiada nilai di sisi Allah.

Sekali lagi, ayat berkenaan memberi galakan kepada setiap individu Muslim agar terus melipat gandakan amal kebajikan mereka kerana semuanya itu bakal dinilai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari rebut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu." (Surah Ibrahim, ayat 18).

Begitulah peri pentingnya iman yang mendasari setiap amalan manusia. Sesungguhnya amalan manusia itu tidak sekali-kali memberi kesan kepada Allah.

Malah, kita tidak sekali-kali dapat membayar segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Hanya rahmat Allah jua yang mampu menyelamatkan kita daripada azab neraka serta melayakkan diri ke syurga-Nya.

Satu lagi perumpamaan ayat al-Quran yang perlu menjadi renungan bersama ialah apabila Allah membuat bandingan perihal golongan Yahudi yang tidak mempercayai ayat Allah serta menidakkan kebenarannya.

Golongan Yahudi tidak menerima hakikat kebenaran seperti yang diwahyukan oleh Allah dalam kitab mereka.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang ditanggung dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah..." (Surah al-Jumu'ah, ayat 5).

Sungguh hina bandingan bagi mereka yang menafikan ayat Allah yang diturunkan untuk kebaikan mereka. Wahyu Allah yang seharusnya menjadi panduan hidup bagi mengecapi nikmat dan keredaan Allah dinafikan kebenarannya, lantaran sifat angkuh manusia yang menutup semua pintu kebenaran.

Oleh itu, kalam Allah ini menyalurkan pelbagai gaya bahasa bagi menyampaikan isi kandungannya.

Melalui bentuk perumpamaan atau perbandingan ini, ia dapat mendidik manusia agar sentiasa memanfaatkan akal fikiran untuk memikirkan rahsia di sebalik ayat al-Quran.

Seperti yang dijanjikan Allah, hanya orang yang memiliki ilmu saja berupaya menggarap makna tersirat di sebalik firman Allah berkenaan. Marilah sama-sama kita menjadi umat yang sentiasa berlumba-lumba mendalami isi al-Quran.

Jika kita tidak mampu untuk menjadi orang yang mahir mengajar isi al-Quran, maka mengapa tidak kita berusaha untuk menjadi orang yang mahu mempelajari al-Quran.

Sesungguhnya, kedua-dua golongan ini adalah antara yang terbaik dan dipandang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (hadis riwayat al-Bukhari).




No comments:

Post a Comment