Petang tadi, saya diberitahu oleh rakan yang tinggal serumah bahawa hari ini, rahsia pelajarnya terbongkar! Tiga kumpulan pelajarnya telah melakukan palagiat dalam tugasan ilmiah yang diberikan. Tanpa disedari, kumpulan pelajar tersebut telah melakukan palagiat daripada blog rakan saya sendiri, iaitu pensyarah kepada para pelajar tersebut. Malang sungguh nasib si pencuri!
Inilah masalah dalam dunia keilmuan hari ini. Manusia tanpa segan silu mengambil hak orang lain secara rakus, lantas mengakui bahawa itu adalah miliknya, hasil pemikirannya dan lain-lain.
Sungguh tidak bertamadun perlakuan tersebut lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh golongan yang belajar agama. Masalah ini melanda sebahagian besar pelajar hari ini, ditambah dengan peluang untuk memperoleh maklumat secara bebas dan pantas melalui dunia siber tanpa sempadan. Ini juga merupakan salah satu daripada kelakuan buruk yang sama ertinya dengan "mencuri". Mencuri dalam hal ini ialah mengambil hak orang lain, semestinya tanpa meminta kebenaran, serta tidak menyatakan sumber rujukan maklumat tersebut secara sempurna. Jika masalah serius ini tidak dibendung maka akan lahirlah generasi yang gemar menipu dengan selesa. Generasi yang menipu diri sendiri dan orang lain.
Sebenarnya, dalam bidang penulisan, analisis yang disandarkan kepada hujah yang konkrit, amat diperlukan. Namun, ianya mesti dilakukan dengan cara yang betul. Barulah timbul keberkatan dalam menuntut ilmu. Ilmu yang diperolehi menerusi sumber yang salah, akan membuatkan diri jauh dari keberkatan Allah.
Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi "ahli ilmu" yang menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Islam. Sesungguhnya, tidak akan sama antara orang yang "berilmu" dengan orang yang "tidak berilmu".
Di dalam al-Qur'an, terdapat banyak ayat-ayat yang menyatakan kelebihan orang yang berilmu. Namun ia menggambarkan golongan yang betul-betul berilmu dengan ilmu yang benar. Mana mungkin, orang yang tidak berlaku amanah terhadap ilmu itu merupakan orang yang betul-betul berilmu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat." (surah al-Mujadalah, ayat 11).
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (surah al-Zumar, ayat 9)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah Allah) dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun." (surah Fatir, ayat 28)
Buat para pelajar yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu, pesan saya pada diri saya sendiri terutamanya dan juga kalian, walaupun pensyarah anda tidak mengetahui tembelang anda, tetapi Allah itu Maha Mengetahui.
Assalamualaikum.. semoga Allah redha..
ReplyDelete