rencana@hmetro.com.my
KITA sebagai manusia biasa, semestinya ada kekurangan dalam diri. Begitulah fitrah kejadian manusia. Sebab itu, kita dianjurkan Islam untuk sentiasa ingat-mengingati sesama Muslim supaya kekurangan itu dapat diatasi dengan cara yang terbaik.
Marah adalah sifat yang ada dalam diri setiap manusia. Sifat itu dicipta bagi menilai sejauh mana tahap kesempurnaan iman seseorang Muslim.
Bagi Muslim yang benar-benar memiliki takwa, sememangnya mudah untuk menghindari sifat marah dalam diri. Sifat marah dikatakan antara punca berlakunya masalah yang lebih besar.
Jika seseorang tidak dapat mengawal perasaan marah, pergaduhan besar boleh berlaku, malah tidak mustahil hingga mendorong pembunuhan yang dahsyat.
Syaitan sentiasa mengimpikan manusia tinggal bersamanya di neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencapai impiannya itu.
Justeru, setiap individu Muslim harus sedar, jika mereka gagal mengawal kemarahan dalam diri, bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan.
Menjauhi sifat marah antara nasihat peninggalan Rasulullah. Perkara itu dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah:
“Berikanlah aku nasihat,” Baginda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari).
Perkara ini dijelaskan lagi Rasulullah dalam sebuah hadis lain. Pada satu ketika, terdapat dua orang yang saling mencela di sisi Rasulullah. Seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan hingga berubah wajahnya. Maka Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, pasti hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan syaitan berusaha memanfaatkan sifat marah bagi memporak-perandakan umat Islam. Sifat marah dalam diri adalah musuh utama manusia.
Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan daripada syaitan yang dilaknat.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200).
Selain itu, secara jelas, Islam memberi jalan penyelesaian bagi mengawal marah. Antaranya seperti yang terdapat dalam hadis di atas iaitu dengan membaca ta’awwuz (a’uzu billahi min al-shaytan al-rajim).
Kalimah itu diajar Rasulullah kepada sahabat untuk mengawal rasa marah.
Rasulullah juga menganjurkan supaya umat Islam yang sedang dikuasai sifat marah untuk mengubah keadaan fizikal mereka ketika itu.
Umpamanya apabila seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan supaya dia duduk.
Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Begitulah keindahan Islam yang amat prihatin terhadap umatnya. Pelbagai cara dan kaedah dianjurkan bagi mengatasi sifat marah. Secara logiknya, jika seseorang itu marah, dan dalam keadaan berdiri, pelbagai keadaan negatif boleh terjadi jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik.
Rasulullah menganjurkan supaya orang yang sedang marah itu duduk dan baring jika rasa marah tidak berkurangan. Umat Islam juga dianjurkan untuk diam daripada berkata-kata ketika marah.
Bayangkan jika rasa marah tidak dapat dikawal, sudah pasti pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan terhambur keluar. Begitu hebat senjata syaitan ini yang tidak jemu menyesatkan manusia.
Sabda Rasulullah: “Apabila di antara kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Ahmad).
Dalam hal ini, sifat sabar amat diperlukan. Tanpa kesabaran, tidak mungkin seseorang itu boleh diam ketika marah sedang menguasai diri.
Justeru, wajar untuk menanam sifat sabar dalam diri lebih-lebih lagi ketika marah. Firman Allah dalam al-Quran: “Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5).
Jika sifat sabar dapat ditanam dalam diri, nescaya rasa marah sukar menguasai jiwa dan akal seseorang Muslim.
Oleh sebab itu, darjat orang-orang yang sabar amat tinggi di sisi Allah.
Terdapat banyak ayat menyatakan sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama golongan yang sabar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).
Rasulullah amat menyukai orang yang sabar. Baginda pernah memuji seorang sahabatnya Asyaj ‘Abd al-Qays yang memiliki sifat lemah lembut khususnya sabar.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa).” (Hadis riwayat Muslim).
Menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, sifat sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah, kedua adalah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga adalah sabar ketika ditimpa ujian (musibah).
Selain itu, Islam juga menganjurkan orang yang sedang marah segera mengambil wuduk. Selain berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil, wuduk juga boleh menghilangkan perasaan marah.
Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Banyakkan mengingati Allah dengan cara berzikir kepadanya antara cara terbaik mengawal perasaan marah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati pasti menjadi tenang dan tenteram.
Jika hati dipenuhi zikrullah, syaitan tidak akan dapat bersarang di dalamnya. Firman Allah: “Ingatlah dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).
Rasulullah menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).
Pengiktirafan yang tinggi diberikan kepada mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah. Sabda Rasulullah: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti (bergaduh), tetapi kekuatan sebenarnya adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Rasulullah menyatakan ganjaran akhirat bagi mereka yang berjaya mengawal perasaan marahnya menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah pasti memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).
No comments:
Post a Comment