Friday, July 19, 2013

Berdakwah Di Alam Maya (Harian Metro) - 16 Februari 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Dalam suasana ledakan teknologi maklumat hari ini, muncul pelbagai jenis aplikasi perhubungan dalam dunia maya. Informasi yang merentasi sempadan benua dapat diperolehi dengan sekelip mata.

Pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan muda mahupun yang berusia tidak melepaskan peluang memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi hari ini dan antara yang menjadi pilihan ramai ialah facebook.

Pelbagai informasi terkini sama ada yang melibatkan individu, masyarakat setempat, dalam dan luar negara dapat dicapai dengan mudah melalui facebook

Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini yang tidak lagi menonton televisyen dan membaca akhbar kerana kebergantungan mereka kepada internet dan aplikasi teknologi moden seperti facebook.

Sebenarnya, suasana ini boleh mengundang kesan positif dalam kehidupan manusia, tidak kurang juga kesan negatif sekiranya tanpa kawalan. Jika dilihat dari satu sudut, ketagihan masyarakat terhadap facebook mampu mengundang pelbagai kesan negatif seperti pembaziran masa, kurang bersosial dengan masyarakat, pendedahan perkara maksiat, lalai dalam melaksanakan tanggungjawab seharian, melengahkan amal ibadah dan sebagainya. Kesan negatif seperti ini bukan sahaja melanda golongan remaja, malah turut melibatkan golongan yang berusia.

Dari sudut positif, banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada kemunculan facebook. Antaranya ia boleh dijadikan medan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sudah pastinya perkenalan yang terjalin mesti membawa kepada kebaikan bukan kemungkaran. 

Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kepelbagaian keturunan, bahasa, budaya dan suasana kehidupan akan membawa faedah yang banyak bagi mereka yang mahu berfikir dan berusaha memanfaatkan kepelbagaian yang wujud ini.

Kepelbagaian ini menggambarkan kekuasaan Allah SWT yang Maha Hebat dalam mencipta manusia. Manusia yang diciptakan dengan beberapa kekurangan akan berupaya mengatasi kekurangan tersebut sekiranya mereka saling melengkapi antara satu sama lain. 

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Sesuai dengan kepantasan facebook dalam menyebarkan informasi, maka amat wajar bagi setiap umat Islam memanfaatkan kemudahan ini untuk menyebarkan kebaikan (al-ma’ruf) dan menyekat keburukan (al-munkar). Hal ini termasuk dalam usaha dakwah. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar.

Sepanjang hayat Baginda SAW dimanfaatkan untuk tujuan dakwah iaitu membawa manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tugas dakwah ini terletak di atas bahu setiap muslim yang kelak akan dipersoalkan. Sesiapa pun tidak berupaya untuk lari daripadanya.

Tugas menyebarkan ajaran Allah SWT tidaklah menjadi satu bebanan bagi kerana tanggungjawab tersebut boleh ditunaikan mengikut kapasiti masing-masing. Dengan adanya facebook, setiap daripada kita mampu memainkan peranan dakwah ini.

Dakwah bukan hanya menyeru orang bukan Islam untuk masuk Islam, ia turut melibatkan usaha menyedarkan umat Islam yang alpa tentang kewajipan mereka. Hal ini perlu sentiasa menjadi ingatan setiap muslim agar umat Islam terus menjadi umat terbaik, sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110).

Pelbagai perkara baik boleh dikongsikan dengan pemanfaatan facebook. Satu perkara yang perlu diberi pujian apabila ramai dalam kalangan para pendakwah di Malaysia pada hari ini turut memanfaatkan facebook untuk tujuan dakwah. 

Namun, setiap daripada kita juga perlu memainkan peranan yang sama. Kongsikanlah perkara-perkara baik dalam facebook, meskipun hanya dengan sebaris dua ayat. Rasulullah SAW menggesa umatnya menjadi penyebar ilmu Allah SWT menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam masa yang sama, perlu menjadi ingatan kita bersama agar tidak sesekali menjadikan facebook sebagai medium untuk bersengketa dan mendedahkan keaiban orang lain. Setiap daripada kita harus bijak menangai sesuatu isu dengan hikmah dan bijaksana. Percanggahan pendapat merupakan satu fitrah dalam kehidupan. 

Namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam bermusuhan antara satu sama lain. Dengan keterbatasan ruangan facebook untuk melontarkan hujah, maka umat Islam perlu menggunakan kebijaksaan masing-masing jika berdepan dengan percanggahan pendapat. 

Hakikatnya, banyak mata yang melihat gelagat kita di facebook dan sekiranya kita gagal mencerminkan akhlak Islam ketika menggunakan facebook, ia bakal mengundang fitnah terhadap Islam.

Dengan perkongsian nasihat, kata-kata hikmah, pengalaman baik, kejayaan dan kegembiraan atas nikmat yang diperolehi, makluman tentang majlis ilmu dan sebagainya, ia diharapkan akan memberi faedah buat rakan alam maya di facebook

Moga dengan usaha kita yang bijak menggunakan facebook untuk tujuan kebaikan, ia akan menjadi ikutan orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka dia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu apapun, dan sesiapa menyeru kepada kesesatan maka dia akan mendapat dosa seperti dosa yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu pun.” (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment