Oleh: Mohd
Shahrizal Nasir
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Tidak
ada insan di dunia yang hidup keseorangan tanpa insan bernama sahabat. Setiap
daripada kita tidak terlepas daripada sebarang dugaan dan rintangan. Selain
memanjatkan doa kepada Yang Maha Kuasa, menjadi fitrah manusia mengharapkan
bantuan daripada individu yang dekat dengannya.
Jika diamati sirah Rasulullah
SAW, dalam proses hijrah contohnya, perancangan untuk menyebarkan dakwah di
bumi Madinah telah dibantu oleh para sahabat Baginda SAW yang sentiasa berada
di sisi Baginda.
Pengorbanan para sahabat Baginda SAW seperti Saidina Abu Bakar
amat membantu Baginda dalam proses hijrah bagi mengembangkan Islam di luar kota
Mekah.
Di
dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan sifat-sifat para sahabat Rasulullah SAW
yang hebat. Kesemua mereka telah memainkan peranan yang besar dalam membantu
Rasulullah SAW menjalankan amanah daripada Allah SWT.
Sifat mereka yang
istimewa ini bukan sahaja dijelaskan di dalam al-Quran, malah turut dimuatkan
dalam kitab Taurat dan Injil.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Muhammad
ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap
orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara
mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah
dan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh)
terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang
ikhlas).” (Surah al-Fath, ayat 29).
Begitu
besar peranan yang dimainkan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Hidup mereka
digunakan sepenuhnya untuk bersama-sama Rasulullah SAW menyebarkan Islam sama
ada dalam suasana gembira lebih-lebih lagi di kala duka.
Segalanya diharungi
bersama dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia. Akhirnya,
Allah SWT menjanjikan syurga buat para sahabat Rasulullah SAW, itulah nikmat
yang terbesar.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang
bermaksud: “Dan orang terdahulu yang lebih awal masuk Islam iaitu Muhajirin
dan Ansar, dan golongan yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan
(iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Allah,
serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan
yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 100).
Berdasarkan
contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW ini, sewajarnya
kita mengikut jejak langkah mereka. Apatah lagi mereka semua telah dijanjikan
nikmat syurga hasil daripada pengorbanan mereka sebagai sahabat Rasulullah SAW.
Malah dalam banyak hadis, Rasulullah SAW telah mengajar kita agar sentiasa
bantu-membantu antara sesama Muslim kerana setiap Muslim itu adalah bersaudara.
Kita bukan hanya perlu menjalinkan ikatan persahabatan, malah lebih daripada
itu iaitu ikatan persaudaraan. Persaudaraan yang didasari oleh asas akidah
Islamiah menjadikan hubungan sesama Muslim sentiasa dalam keadaan harmoni dan
diberkati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang
sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW
bersabda: “Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih-sayang, dan perasaan
belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu,
apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai letih dan
penat (tidak sihat).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Peranan sebagai seorang sahabat amat besar dan yang
paling utama ialah membawa sahabatnya ke arah kebaikan dan menjauhi
kemungkaran. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membawa sahabatnya
kepada mengingati Allah SWT setiap masa.
Seseorang itu dinilai keperibadiannya
berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang
baik, maka kita telah membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Seseorang
itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah
setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat.” (Hadis riwayat
Abu Dawud). Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi
pengaruh yang besar dalam menilai keperibadian seseorang.
Perlu
menjadi ingatan, hal ini tidak bermaksud bahawa kita hanya boleh bersahabat
dengan orang yang baik, dan menjauhi orang yang kurang baik. Ini bersalahan
dengan konsep dan strategi dakwah dalam Islam.
Kita perlu berkawan dengan semua
golongan. Jika kita mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, maka menjadi
tanggungjawab kita untuk membawanya ke arah kebaikan. Namun, jika kita tidak
mampu mengubahnya, pastikan diri kita tidak terikut dan terjebak dalam
kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat tadi.
Jalinan
persahabat perlulah didasari oleh tujuan yang betul. Sekiranya sesuatu ikatan
persahabatan itu terjalin atas sebab-sebab duniawi atau bagi tujuan
kemungkaran, maka ikatan tersebut tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah
SWT, malah akan mencetuskan perbalahan di kemudian hari.
Allah SWT menjelaskan
hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari itu sahabat-sahabat
karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali
orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).” (Surah
al-Zukruf, ayat 67).
Rasulullah SAW turut menjelaskan hal ini menerusi
hadisnya: “Mereka yang berkasih sayang demi keagungan-Ku akan berada di
bawah naungan Arasyh-Ku, pada hari tiada perlindungan melainkan perlindungan-Ku.”
(Hadis riwayat Ahmad).
Untuk
menjadi sahabat sejati yang terbaik, kita perlu berusaha untuk melakukan
kebaikan kepada sahabat. Apa juga perkara baik yang kita lakukan untuk sahabat
dengan hati yang ikhlas, pastinya akan mendapat balasan yang hebat daripada
Allah SWT.
Mendoakan kesejahteraan sahabat, menziarahinya ketika sakit,
menasihatinya apabila diperlukan, berkongsi kegembiraan dengannya, mengucapkan
salam dan bertanya khabar tatkala bertemu dengannya merupakan antara
perkara-perkara baik yang dianjurkan oleh Islam agar dipraktikkan dalam
hubungan persahabatan.
Semoga kita semua dapat mencontohi kehebatan hubungan
persahabatan antara Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda serta mewarisi
sifat-sifat mulia mereka.
No comments:
Post a Comment