Friday, July 19, 2013

Ilmu Tauhid Pendinding Hidup (Harian Metro) - 2 Mac 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Anak merupakan anugerah Allah SWT terhadap hamba-Nya yang terpilih. Sepertimana dalam erti kata “rezeki”, anak juga merupakan satu anugerah rezeki daripada Allah SWT. 

Setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Antara tanggungjawab tersebut ialah mendidik anak-anak dengan ilmu yang benar agar dapat menjadi insan yang baik.

Ilmu yang benar ialah ilmu yang dapat mendekatkan diri anak-anak dengan Allah SWT. Ilmu ini membawa manusia mengenal Allah SWT serta mengiktiraf kebesaran dan keagungan-Nya.

Ilmu yang benar akan membuatkan anak-anak sentiasa patuh terhadap setiap suruhan dan larangan Allah SWT. Ilmu yang benar juga mesti bersumberkan al-Quran dan hadis serta tidak lari daripada fitrah kehidupan manusia.

Ilmu tauhid atau yang berkaitan dengan akidah adalah antara ilmu yang perlu diajar kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Sepertimana yang menjadi amalan kita, anak kecil akan diperdengarkan dengan azan sejerus mereka dilahirkan.

Kalimah yang terkandung dalam azan kesemuanya membawa pengertian bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa dan setiap makhluk bergantung sepenuhnya kepada kuasa dan kehendak-Nya.

Inilah antara didikan pertama yang diberikan kepada anak-anak yang melibatkan ilmu tauhid. Meskipun si anak belum mengerti makna lafaz-lafaz dalam azan, namun ia telah diperdengarkan sebagai ilmu pertama yang perlu masuk dalam hati si anak.

Semakin anak membesar, ibu bapa perlu terus mendidik anak dengan ilmu tauhid. Mulakan dengan yang mudah. Sentiasa perdengarkan mereka dengan zikir-zikir yang membesarkan Allah SWT. Zikir-zikir seperti alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), subhanallah (Maha suci Allah), Allahu akbar (Allah Maha Besar) adalah antara yang wajar kita sentiasa ucap kepada si anak agar mereka biasa dengan zikir-zikir ini dan seterusnya mengajuk bacaan zikir tersebut. 


Dengan zikir dan mengingati Allah SWT pada setiap waktu, hati akan jadi tenang tenteram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28).

Ketika anak sudah mula faham kata-kata ibu bapa dan orang sekeliling, mulalah berkomunikasi dengan anak-anak. Ibu bapa perlu memberi input yang benar kepada si anak kerana input ini amat memberi kesan terhadap perkembangan sahsiah mereka untuk seterusnya. Ibu bapa boleh mula tanamkan ilmu tauhid dalam diri anak-anak dengan mengaitkan Allah SWT dengan ciptaan-Nya. 

Firman Allah SWT di dalam al-Quran: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai  Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191).

Antara input asas yang boleh dikongsikan dengan si anak, katakan kepada mereka: “Pokok ini Allah cipta.”, “Kucing ini Allah cipta.”, “Cantik langit biru yang Allah cipta itu.”, “Tanah yang kita pijak ini ciptaan Allah.”, “Bunga yang wangi ini dicipta oleh Allah.”, “Allah jadikan tangan, kaki, muka dan semua anggota kita.”, “Allah Maha Hebat.”, “Allah sentiasa melihat kita.”, “Allah sentiasa jaga kita.” dan sebagainya.

Meskipun ayat-ayat ini nampak biasa, tapi ia memberi impak yang besar dari sudut akidah. Ia adalah ilmu asas yang perlu dipasakkan dalam hati dan fikiran si anak. Jangan biarkan anak-anak mengenali power rangers, ultraman, superman dan apa sahaja watak hero yang dihidangkan dalam media hari ini secara taksub. Jika ia tidak dikawal, mereka akan lebih mengakui kehebatan watak-watak ini berbanding Allah SWT.

Tidak dinafikan, dunia hari ini banyak memaparkan isu khurafat yang boleh menjejaskan akidah si anak. Umpamanya lambakan cerita-cerita hantu yang membuatkan si anak merasa takut dan lemah semangat. Perkara ini akan dapat diatasi sekiranya ibu bapa telah memasakkan ilmu akidah dalam diri si anak.

Si anak akan berani menghadapi apa sahaja keadaan kerana keyakinan mereka terhadap kuasa Allah SWT yang mengatasi segalanya. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hadid, ayat 4).


Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa agar memastikan ilmu tauhid ini dipasakkan dalam hati dan fikiran anak-anak sejak mereka kecil lagi. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan keperibadian si anak dengan peribadi mulia serta meneguhkan asas akidah dalam diri mereka. Pendidikan tauhid ini perlu diusahakan secara berterusan. Namun ia mesti dimulakan sedari awal kelahiran anak. 

Akidah adalah perkara asas dalam Islam. Ia perlu difahami dengan betul dan terus diperkukuhkan dari masa ke semasa. Dengan akidah yang benar, ia akan menyelamatkan manusia daripada neraka-Nya kelak.

Semoga ibu bapa dapat menunaikan tanggungjawab membebaskan anak-anak dan ahli keluarga daripada siksaan neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah al-Tahrim, ayat 6).

No comments:

Post a Comment