Tuesday, January 25, 2011

Tulisan Kita, Tanggungjawab Kita


Saya ada terbaca catatan seorang penulis prolifik dalam sebuah blog, beliau mendapat "durian runtuh" hasil tulisan kreatifnya. Bayangkan, si penulis boleh dapat ratusan ribu ringgit setiap tahun. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Pasti bagi mereka yang mempunyai bakat menulis, akan rasa teruja dan bersemangat untuk turut serta dalam perlumbaan menghasilkan karya kreatif masing-masing.


Namun, dengan rendah diri, saya tegaskan bahawa tugas yang dipikul oleh seorang penulis itu amat besar. Dia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang ditulis dan dicoretkan dalam karya tersebut.

Tambahan pula bagi penulis yang mempunyai kelompok peminat yang tersendiri dan jumlahnya jutaan orang. Maka semakin besar tanggungjawab yang dipikul oleh si penulis.


P
endapat saya ini bukan satu ugutan, bukan juga satu ungkapan yang berniat untuk mematikan semangat para penulis sekalian! Namun, saya ingin mengajak para penulis agar sama-sama berfikir dan melakukan muhasabah di atas setiap kerja yang telah dilakukan. Hal ini secara langsung dapat memperbaiki mutu isi yang terkandung dalam karya kreatif tersebut.


~Sekadar gambar hiasan~

Usah sekadar ghairah dalam menghasilkan karya kreatif tanpa menitik-beratkan soal kandungan atau isi yang ditonjolkan dalam karya tersebut.

Oleh kerana keghairahan segelintir penulis yang mahukan kelainan, maka dilabel karyanya sebagai "Karya Sastera Islam", ditonjolkan ISLAM sebagai jenama yang menyejukkan mata yang memandang, walhal isinya menyimpang daripada ajaran Islam.


Melihat pada beberapa tajuk novel "Islam", khususnya yang menulis berkaitan "cinta Islamik", perkataan-perkataan seperti bidadari syurga, tahajjud, tasbih, Ilahi, tasawuf, Nabi, jihad dan beberapa lagi digunakan sebagai tajuk novel, bagi menyerlahkan "keislaman" novel tersebut. Apabila dibaca dengan teliti, si penulis tidak langsung mencerminkan tuntutan dan garis panduan Islam dalam hubungan "cinta" sesama manusia.

Apakah penulis betul-betul faham akan konotasi maksud perkataan-perkataan tersebut dalam Islam? Adakah penulis telah berhati-hati dalam mentakwilkan makna setiap perkataan itu? Adakah para pembaca bakal memahami perkataan-perkataan tersebut dalam konteks sebenar? Adakah penulis mematuhi adab-adab menggunakan perkataan-perkataan tersebut? Seperti BIDADARI SYURGA, bagaimana penulis memberi gambaran tentang istilah ini? Adakah menyamai dengan apa yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an?

Terdapat juga, para penulis yang giat memasukkan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah SAW dalam tulisan mereka, namun sebenarnya kutipan-kutipan daripada dua sumber agung Islam itu telah dimanfaatkan dengan cara yang salah.

Sebagai contoh, pemanfaatan ayat al-Qur'an dalam apa juga bidang harus meraikan banyak aspek seperti al-Makki wa al-Madani, al-Qira'at al-Qur'aniyyah, al-nasikh wa al-mansukh, asbab al-nuzul dan banyak lagi. Kesemua aspek ini saling melengkapi antara satu sama lain bagi mengetahui makna ayat al-Qur'an tersebut dengan tepat.

Aspek-aspek ini jugalah yang menjadikan al-Qur'an itu sebuah Kitab Suci yang unggul, sesuai dengan martabatnya sebagai Kal
amullah dan mukjizat Rasulullah SAW.

Oleh itu, setiap penulis seharusnya betul-betul faham tentang perkara-perkara ini kerana ia membabitkan pemahaman khalayak pembaca terhadap ilmu atau manfaat yang berfakta, lebih-lebih lagi fakta yang melibatkan wahyu Ilahi. Penulis tidak sewajarnya mengambil pendekatan "copy" and "paste" dalam memanfaatkan ayat-ayat suci al-Qur'an dalam karya kreatif mereka.

Jika penulis melakukan kesalahan, dengan sedar, ditambah pula dengan ilmu yang tidak tepat atau tidak mencukupi, maka dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesalahan tersebut.

Marilah sama-sama kita renungkan perkara ini serta mengambil perhatian yang serius kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia, pastinya akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat sana.

Jadilah penulis yang ikhlas dengan membawa khalayak pembaca menuju reda Ilahi. Jika selepas membaca hasil karya tersebut, khalayak tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan fakta yang salah atau songsang, maka hasil royalti yang diterima bakal menjadi hujah jelas terhadap kesalahan yang dilakukan.

Allah al-Musta'an.



2 comments:

  1. trend 'novel islamik' ni kan makin diminati ramai.tapi betul la kata ko.tajuk yg diberikan begitu gah.tapi isi x melambangkan tajuk.
    kalo dah melibatkan ayat al-qur'an ni kene kefahamn yg tinggi. bukan setakat faham perkataan nye saje.segala aspek macam yg ko sebut(asbab nuzul, naskh-mansukh dll) tu penting

    ReplyDelete
  2. Itulah yang jadi kebimbangan aku. Kita bukan iri hati dengan para penulis karya kreatif sebegini, tapi kita SIMPATI terhadap para pembaca dan diri penulis tu sendiri. Siapa nak jawab di sana nanti...

    ReplyDelete