Wednesday, December 29, 2010

Cari Titik Persamaan, Jauhi Titik Perbezaan...


Malaysia berjaya mengalahkan Indonesia. Itulah kejayaan yang berjaya ditempa oleh sekumpulan anak muda Malaysia yang membawa berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia.

Kejayaan yang julung kalinya dikecapi oleh Malaysia dalam Piala Suzuki 2010, pastinya didahului oleh sikap rajin, semangat kental, saling bekerjasama, hormat menghormati, menepati masa dan sebagainya.

Nilai-nilai murni ini sebenarnya yang menjadi latar belakang dan tunggak kejayaan yang dikecapi oleh pasukan Malaysia.

Jika kita renung sejenak, hanya dengan sebiji bola yang bulat, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati. Dapat diperhatikan, rata-rata rakyat Malaysia memenuhi gerai-gerai makan bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia tadi.

Sungguh indah, sungguh damai jika semangat dan suasana ini terus dirasai oleh setiap anggota masyarakat pada setiap masa.

Hanya kerana sebiji bola, segala perselisihan dalam apa jua isu dapat diketepikan, dapat dilupakan. Jurang perbedaan seolah tertutup rapat kerana semuanya mempunyai impian yang satu, impian yang sama ingin melihat Malaysia muncul sebagai juara.

Namun, mengapa dalam isu yang lain, kita tidak boleh sepakat, tidak boleh selari, tidak boleh sekata, tidak boleh senada???

Inilah yang harus kita fikir-fikirkan. Umat Islam khususnya, harus menjadikan titik AGAMA sebagai titik penyatuan antara sesama Muslim.

Telah jelas dalam al-Qur'an bahawa umat Islam itu adalah umat yang satu. Umat yang kiblatnya satu, Nabi ikutannya satu, kitab panduannya satu.

Ayuh umat Islam...kita cari dan kekalkan titik persamaan. Kita utamakan sesuatu yang boleh terus mengikat persaudaraan sesama kita. Kita hindari titik perbedaan, kerana titik inilah yang bakal memandu ummah ke arah kehancuran dan kebinasaan.

Moga umat Islam terus bersatu!
Titik persamaan yang disatukan oleh ISLAM, amatlah jelas, cuma keegoaan yang menutup semua pintu kebersamaan.

Tuesday, December 28, 2010

Sastera Islam Tidak Sempit, Jumud


Istilah "Sastera Islam" memang sudah lama menjadi polemik tanah air. Masing-masing bangkit dengan pemahaman dan takrifan yang tersendiri. Di Malaysia, nama-nama seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Shafie Abu Bakar, Bukhari Lubis dan beberapa lagi individu yang terlibat dalam dunia kesusasteraan turut melontarkan idea berkaitan istilah keramat ini.

Bagi saya, "Sastera Islam" mencakupi skop yang amat luas. Justeru, adalah kurang tepat jika dikatakan bahawa "Sastera Islam" itu mesti menggunakan istilah Arab, mesti memasukkan istilah-istilah agama (al-mustalahat al-diniyyah), mesti memanfaatkan ayat-ayat al-Qur'an dan Hadith Rasulullah SAW dan pelbagai lagi ciri-ciri yang digambarkan oleh beberapa tokoh dalam bidang ini.

Jika diteliti daripada maksud Sastera Islam yang digariskan oleh Pertubuhan Sastera Islam Sedunia, yang berbunyi:


الأَدَبُ الإِسْلاَمِيُّ هُوَ التَّعْبِيرُ الفَنِّيُّ الهَادِفُ عَنِ الإِنْسَانِ وَالحَيَاةِ وَالكَوْنِ وِفْقَ التَّصَوُّرِ الإِسْلاَمِيِّ

Terjemahan: "Sastera Islam adalah ungkapan yang berseni, yang terarah tentang manusia, kehidupan, dan cakerawala, menepati tasawwur Islam"


Daripada takrifan ini, jelas bahawa "Sastera Islam" itu tidak bersifat jumud dan terhad kepada ciri-ciri yang digambarkan oleh sesetengah individu.

Saya lebih cenderung untuk bersetuju dengan ciri-ciri "Sastera Islam" yang digariskan oleh Najib al-Kilani dalam bukunya "Madkhal ila al-Adab al-Islami". Terdapat 10 ciri-ciri yang digambarkan sebagai mewakili gambaran jelas "Sastera Islam", iaitu:

1. Sastera Islam merupakan sastera tanggungjawab, iaitu tanggungjawab berdasarkan prinsip Islam yang lahir daripada hati sanubari seorang karyawan Muslim.

2. Sastera Islam bukan sastera yang mengetepikan ciri-ciri keindahan luaran sesebuah karya bahkan ia menggalakkan unsur itu wujud dalam karya sastera.

3. Sastera Islam amat menekankan mesej atau kandungan sastera itu sendiri yang semestinya tercetus daripada asas-asas Islam. Keadaan ini menjadikan karya Sastera Islam cukup sempurna keindahannya sama ada dari segi luaran mahupun isi dalamannya bagi menyampaikan pengucapan yang benar, seterusnya memberi kesan yang mendalam terhadap diri khalayak pembaca.

4. Sastera Islam membicarakan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan perkara-perkara asas kehidupan mahupun masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ia juga mampu menyelesaikan masalah-masalah kehidupan ataupun mengurangkan penderitaan dan keazaban yang dihadapi oleh masyarakat.

5. Sastera Islam mengungkap cita-cita dan harapan manusia dengan penuh kebenaran dan amanah. Ia memberi gambaran tentang kelemahan dan kesesatan dalam kehidupan manusia serta memberi penawar serta alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut.

6. Sastera Islam bukan sastera yang sia-sia dan tidak mungkin ia bersifat sedemikian. Hal ini berbalik kepada tujuan penciptaan manusia ke dunia yang bukan untuk tujuan sia-sia, kesemuanya mempunyai tujuan dan bermatlamat. Namun keadaan ini tidak menolak wujudnya keseronokan yang bersifat sementara dalam kehidupan manusia yang sebenarnya bertujuan menguji mereka serta memberi peluang yang secukupnya untuk melakukan amalan. Segalanya kembali kepada akidah manusia itu sendiri yang memilih untuk memperbanyakkan amalan kebaikan ataupun keburukan.

7. Sastera Islam bukan satu sistem atau pendekatan yang sempit dan jumud, yang hanya menceritakan kehidupan dan realitinya, bukan juga merupakan ucapan nasihat yang dipenuhi ayat-ayat al-Qur’an dan hadith serta hukum-hukum agama semata-mata, tetapi ia merupakan satu bentuk atau gambaran yang indah dan sentiasa berkembang.

8. Sastera Islam merupakan sastera rasa hati yang hidup dan sihat sejahtera, sastera yang memberi gambaran yang tepat, juga imaginasi yang berpaksikan kebenaran.

9. Sastera Islam adalah sastera yang jelas dan bukan bermain-main dengan kekaburan yang menyesatkan ataupun kegelapan yang membunuh.

10. Sastera Islam tidak mungkin mampu untuk dihasilkan kecuali oleh mereka yang memiliki keyakinan dan berlapang dada serta didasari oleh landasan yang ditetapkan Allah. Ini kerana hanya dengan asas akidah yang sebenar, sastera yang bercirikan kebenaran mampu dihasilkan.

Satu perkara yang harus menjadi ingatan bahawa, "Sastera Islam" seharusnya sentiasa selari dengan tuntutan dan gesaan Islam. Islam amat mementingkan ilmu, justeru "Sastera Islam" harus menjadi wadah penting menyampaikan ilmu.

Jika diteliti dengan hati yang terbuka, ciri-ciri ke-3, 4, 6, 7 dan 9 berkait rapat dengaan perihal ilmu. Karya sastera seharusnya membawa masyarakat untuk berfikir dan bukan untuk berseronok.

Kebanyakan daripada para karyawan dewasa ini, lebih mengutamakan CERITA melebihi ILMU, sedangkan ilmu itu sewajarnya diketengahkan dalam karya sastera. Walau pun usaha untuk menghasilkan karya sastera yang betul-betul menyampaikan ilmu itu bukan satu kerja yang mudah, namun langkah perubahan yang drastik harus dilakukan agar masyarakat mendapat manfaat daripada hasil karya sastera.

Bagi para karyawan sastera, jika mereka memahami dan mempraktikkan konsep "taklif" yang dijelaskan oleh Hj. Mohd. Affandi Hassan melalui Gagasan Persuratan Baru, nescaya, mahu atau tidak, mereka tiada pilihan melainkan berusaha untuk melakukan perubahan dalam dunia sastera iaitu memartabatkan ilmu Islam yang benar dalam karya sastera.

Jika semua pihak, masih merasa selesa, dan paling teruk, menolak pula usaha ke arah memartabatkan ilmu dalam kesusasteraan, maka karya sastera akan kekal menjadi wadah untuk berseronok dan suka-suka sahaja. AWAS, jika pembaca dan masyarakat menjadi ketagih kepada keseronokan, tanpa manfaat, sia-sia, malah yang lebih teruk jika ia menggalakkan perkara mungkar, maka menjadi tanggungjawab para karyawan untuk menjawab kesemuanya di hadapan mahkamah keadilan Allah kelak.



Saturday, December 18, 2010

Renungan Buat Akademia Muda...

Kewibawaan akademia, Amanah Ilmu

(Sumber Dari Akhbar Utusan Malaysia, 15 Dis 2010)



Oleh Mohamed Khaled Nordin

KEHEBATAN sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau universiti tidak bergantung kepada kemegahan dan kecanggihan bangunannya, tetapi kewibawaan ahli akademiknya. Tidak kira sama ada ahli akademik itu berjawatan Tutor sehinggalah Profesor, merekalah penentu kepada kualiti dan kecemerlangan IPT negara.

Mengikut rekod Kementerian Pengajian Tinggi iaitu sehingga November 2010, negara mempunyai seramai 28,571 orang tenaga akademik tempatan di seluruh 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kita percaya bahawa angka tersebut merupakan satu jumlah yang besar. Berbanding pada era awal kemerdekaan negara, kita terpaksa mengimport tenaga akademik dari luar negara khususnya Indonesia untuk berkhidmat di IPTA kerana kekurangan jumlah pengajar ketika itu.

Kuantiti tenaga akademik yang kita miliki mestilah seiring dengan kualiti. Ini bermakna, jumlah ahli akademik yang besar tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak berupaya membentuk satu kekuatan untuk melahirkan tenaga akademik berkualiti tinggi yang akhirnya mampu melahirkan modal insan yang bernilai untuk negara.

Saya telah berkesempatan bertemu dengan para akademia muda dalam Program Kepimpinan Kreatif dan Inovatif Akademia Muda dan Transformasi Kepimpinan Pemimpin Pelajar 2010 anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) baru-baru ini.

Sewaktu berucap, saya mengingatkan kepada mereka, sebagai ahli akademik khususnya para akademia muda yang baharu sahaja memulakan karier dalam dunia akademik, banyak perkara dan pertimbangan yang perlu diambil kira untuk menjadi sarjana yang benar-benar berwibawa dan menyumbang secara tepat kepada pembangunan negara.

Difahamkan, rata-rata tenaga akademia muda kita kini mempunyai kelayakan akademik di peringkat Ijazah Kedoktoran atau PhD dan Sarjana. Ini seharusnya menjadi kelebihan kepada mereka menjadi seorang ahli akademik yang berkualiti tinggi dan bersedia mengharungi dunia akademik dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Sehingga kini, dilaporkan, seramai 8,031 tenaga akademik berkelulusan PhD iaitu mewakili 28.1 peratus, manakala 15,986 orang atau 56 peratus pula berkelulusan Sarjana.

Untuk menjadi seorang ahli akademik yang berwibawa dan dihormati dalam bidangnya, ia memerlukan perjalanan atau tempoh masa yang panjang. Walau bagaimanapun, perjalanan yang panjang itu pastinya bermula pada satu titik mula yang akan menggerakkan potensi dan bakat yang ada.

Sebagai akademia muda, mereka perlu menggarap dan mencanai kekuatan di samping mencari arah yang tepat menjadi seorang ahli akademik yang terbaik dan berwibawa. Kedudukan sebagai ahli akademik di universiti tidak boleh dianggap sebagai satu profesion atau pekerjaan makan gaji semata-mata tetapi satu tanggungjawab yang besar membawa Amanah Ilmu kepada masyarakat.

Justeru, akademia muda bukanlah mereka yang mentah, sebaliknya pemikiran dan sikap mestilah dewasa iaitu maksudnya matang dan mempunyai tahap ilmu yang mantap. Oleh kerana itu jugalah, dalam konteks kenaikan pangkat dalam perkhidmatan akademik misalnya, ia bukan berasaskan kekosongan seperti dalam skim perkhidmatan-perkhidmatan yang lain, sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada pencapaian dan merit ahli akademik itu sendiri.

Dalam erti kata yang lain, usia akademia muda sewajarnya tidak menjadi penghalang untuk terus cemerlang tetapi apa yang penting, terus mencabar kemampuan diri untuk memberikan yang terbaik.

Sebagai seorang ahli akademik, mereka sebenarnya menggalas amanah yang cukup besar iaitu Amanah Ilmu kepada masyarakat. Tanggungjawab sebagai seorang ahli akademik mesti dilihat sebagai satu tanggungjawab suci demi perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. Tiada pekerjaan dan tanggungjawab yang lebih murni selain tugas ahli akademik yang menyambung tradisi ilmu dan mendidik anak bangsa di negara.

Apatah lagi, dalam hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020 seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik khususnya ahli akademia muda merupakan peneraju dan pemain utamanya.

Inilah yang menjadi intipati ucapan saya dalam program tersebut. Untuk menjadi ahli akademik yang terbaik juga, selain menguasai ilmu, para akademia muda perlu memelihara kewibawaan mereka sebagai ahli akademik.

Ini bergantung kepada, Pertama, mempunyai pegangan dan percaya akan nilai teras ahli akademik iaitu mencari kebenaran melalui penyelidikan dan berani mempertahankan kebenaran tersebut berasaskan fakta dan bukannya emosi mahupun ideologi.

Latihan ini juga berupaya memupuk semangat dan keinginan yang tinggi mereka untuk mencari kebenaran dan tidak pernah berpuas hati dengn dapatan yang ada. Pembudayaan pemikiran yang kritis dan kritikal ini adalah selaras dengan sistem nilai dan norma yang sememangnya sentiasa dipupuk dan dipertingkatkan di kalangan kita.

Kedua, melaksanakan konsep “Akademik Berbudaya Cemerlang”. Dalam erti kata yang lain, ahli akademik mesti berusaha sedaya upaya menjadi yang terbaik sama ada dalam konteks pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun sumbangan masyarakat untuk mencapai kebitaraan akademik.

Harus diingatkan, ilmu dan keilmuan seharusnya tidak tertumpu sekitar persekitaran dewan kuliah dan bilik makmal semata-mata. Sebaliknya, ahli akademik juga harus berani keluar dari zon selesa dan memanfaatkan ilmu dan keilmuan mereka di luar menara gading.

Ketiga, melaksanakan pembangunan akademik sendiri. Ini termasuk mengambil inisiatif sendiri menambah kemahiran-kemahiran tertentu yang kreatif dan inovatif, misalnya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran supaya ia lebih menarik dan dinamik.

Keempat, bukan sekadar menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, tetapi ahli akademik juga hendaklah mengamalkan pembelajaran tersebut. Ini adalah kerana ilmu sentiasa berubah dan mereka mesti memastikan tahap ilmu yang dimiliki sentiasa dinamik dan relevan.

Dalam hal yang sama juga, saya menyeru kepada kepimpinan universiti untuk mengambil langkah-langkah proaktif dan strategik untuk menggerakkan tenaga akademik muda agar tidak terbiar begitu sahaja.

Ini kerana kita sering melihat dunia luar apabila bercakap soal talents atau bakat, tetapi lupa bahawa bakat yang dimiliki dalam organisasi kita juga memerlukan perhatian yang serius dan pengurusan yang bijaksana.

Apa yang jelas, akademia muda di IPT mempunyai peranan yang penting dalam melestarikan kewibawaan menara gading yang selama ini gah dengan peranannya melahirkan cerdik pandai dan modal insan yang bernilai untuk negara.

Mereka mesti mempunyai penghayatan ilmu yang tinggi kerana kelulusan akademik seperti PhD atau Sarjana, hanyalah permulaan bagi mereka untuk memasuki dunia akademik yang penuh mencabar ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa, seorang profesor yang baik bermula daripada seorang akademia muda yang benar-benar berkualiti dan sedar akan tanggungjawabnya. Suatu hari nanti, akademia muda ini berpeluang untuk bergelar Profesor Ulung jika mereka benar-benar komited dan dedikasi dengan amanah ilmunya.

Kita bertuah kerana kerajaan mengiktiraf peranan ahli akademik dengan memperkenalkan penganugerahan Profesor Ulung. Jika suatu hari nanti, mereka akan dianugerahkan taraf profesor tersebut, tahniah saya ucapkan terlebih dahulu dan bersedialah menjadi pemikir dan ikon negara yang sentiasa dirujuk, dihormati dan relevan.


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau boleh
dihubungi melalui e-mel
mkhaled.mohe@gmail.com



Friday, December 17, 2010

Ayahanda Ustaz Fuad Osman Yang Saya Kenali




Beliaulah yang telah menjaga saya semasa saya mula-mula kenal hidup berdikari. Sekitar tahun 1998, mencatatkan sejarah tersendiri dalam lipatan hidup saya apabila bonda meminta agar saya masuk ke sekolah berasrama penuh. Ayahanda saya lebih bersikap menyerahkan bulat-bulat pada saya untuk membuat keputusan. Mungkin kerana faktor kewangan yang tidak berapa mengizinkan pada ketika itu.

Akhirnya, saya menurut kehendak bonda. Perkara pertama yang diingatkan oleh abang senior ketika saya masuk asrama: "Nanti, kalau salam ustaz-ustaz kat sini, cium tangan mereka, mereka ialah bapa kita kat sini, tapi dengan sorang ustaz ni, tak payah cium tangan dia, dia tak suka...ustaz Fuad namanya, jangan main-main dengan dia, dia ada kashaf".

Begitulah pesanan seorang senior kepada kumpulan pelajar panggilan kedua di bilik kami C27, betul-betul kedudukannya di atas rumah ustaz Fuad tadi. Saat mendengar kata-kata senior tingkatan 5 tadi - yang sampai sekarang saya masih rapat dengannya - membuatkan hati benar-benar hendak mengenali, siapa Ustaz Fuad Osman.

Ketika solat maghrib di surau, pada hari pertama, saya dapat melihat wajah ayahanda ustaz, orangnya kecil tapi mukanya bengis :). Sangat kontradik dengan muka ketua warden ketika itu Allahyarham ayahanda ustaz Ramian Tuge, yang kerap melemparkan senyuman pada pelajar, khususnya pelajar baru.

Begitulah detik pertama saya mengenali ayahanda ustaz Fuad. Hari-hari seterusnya sehingga saya keluar dari bumi SMAKJ menyimpan banyak kenangan tersendiri melalui pemerhatian saya tentang ayahanda ustaz.

Moodnya sukar untuk diduga, ada kalanya, beliau ceria dan boleh bergurau, walaupun kebanyakan dari masanya, beliau akan serius. Kerap memberi ingatan dan pesanan buat warga aspura selepas solat maghrib di surau. Jika ayahanda bangun dari saf, menuju ke tempat imam dan minta diambilkan kerusi untuk beliau, pasti ramai yang tak senang duduk, menanti apakah info terkini, arahan baru, peringatan tegas yang bakal diingatkan oleh ayahanda ustaz.

Paling memberi pengajaran apabila ayahanda sentiasa mendidik kami untuk bersikap jujur dan berani menanggung hukuman atas kesilapan yang dilakukan. Kerap juga ayahanda akan bertanya di surau: "Siapa hisap rokok hari ni? Bangun....", "Siapa ada fly malam tadi? Bangun...". Bukan kah pelik? Namun, atas metode inilah kejujuran seorang anak murid dapat dilihat...jelas! Pelajar berani mengaku salah, tidak malu berdepan dengan hukuman di depan khalayak jemaah surau yang terdiri daripada rakan-rakan dan adik-adik junior. Apabila mengaku...pasti antara dua: lempang menepek di muka atau rotan hinggap di tapak tangan.

Ayahanda ustaz sering mengeluarkan kata-kata yang amat dalam maknanya. Antara yang saya ingat hingga ke hari ini ialah: "Ketenangan adalah kemenangan pertama". Betul...tanpa "tenang"...apa juga tak menjadi, tanpa "tenang"...semua yang dirancang jadi haru biru, tanpa "tenang"...kita bakal rebah di medan perjuangan. Itulah pentingnya ketenangan yang hanya boleh diperolehi jika kita sentiasa mengingati Allah (al-dzikr) setiap masa.

Dengan sikap tegas ayahanda ustaz, tersemat sebenarnya sifat lembut hati dan penyayang. Saya kerap perhatikan dari jauh, ayahanda ustaz seorang yang periang dengan anak-anaknya. Kerap kali saya lihat, beliau berlari-lari anak mengejar anak sulungnya...Zinnirah yang baru pulang dari sekolah. Agak lucu bila dilihat, namun ketegasannya pada pelajar, PASTI ada sebabnya.

Jarang mendengar ayahanda memanggil nama pelajar. Tapi awas, bukan bermakna ayahanda tidak kenal pelajar tersebut, malah sebenarnya beliau tahu nama pelajar tersebut. Sifat ini harus saya contohi, sikap ini bagi membuatkan beliau tidak kelihatan bias dengan para pelajar. Tidak mahu disalah anggap yang beliau rapat dengan si polan, tapi tidak dengan si polan. Bagi ayanhanda, siapa juga yang melakukan kesilapan, walaupun pengawas, walaupun MKP...semuanya bakal menerima hukuman yang sama rata dan setimpal.

Secara peribadi, selepas keluar dari sekolah, acap kali saya berhubung dengan ayaahanda ustaz melalu sms, nak telefon, masih ada rasa takut :). Beliau amat peramah dan baik hati, satu situasi yang tidak dapat pelajar rasai ketika berada dalam pengawasan beliau di asrama dulu.

Satu ingatan ayahanda yang saya masih ingat dan akan sentiasa diingati apabila saya mengadu tentang masalah saya yang kerap kali melengahkan solat. Pesan ayahanda, baca zikir selalu, paling tidak pun, baca al-Fatihah sebanyak 10 kali setiap kali lepas solat, inshaAllah, tak kan lengah solat lagi.

Terima kasih ayahanda ustaz atas doa dan pengorbanan pada saya dan juga rakan-rakan serta anak didik SMAKJ. Saya tahu, ayahanda juga punyai cabaran dan dugaan tersendiri dalam hidup, malah menyelesaikan cabaran menghadapi para pelajar agama yang mentah seperti kami, tetap ayahanda utamakan.

Moga ayahanda ustaz Fuad sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera, sentiasa dalam rahmat dan maghfirah Allah agar terus dapat mendidik pewaris golongan ulama' meniti ranjau kehidupan yang tak pernah lekang dari onak dan duri. Terima kasih ayahanda ustaz Fuad Osman.




Friday, November 26, 2010

Hak al-Quran Untuk Dibaca, Diamalkan (HARIAN METRO, Jumaat 26 November 2010)

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48).

Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran.


Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285).

Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).

Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan.

Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya.

Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran.

Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran?

Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim).

Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka.

Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi).

Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran.

Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.

Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban).

Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka.

Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain).

Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam.

Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi).



Friday, November 19, 2010

Remaja Perlu Ada Niat Tunai Haji (HARIAN METRO, Jumaat 19 November 2010)



Oleh Mohd Shahrizal Nasir



KETIKA ini, jutaan manusia membanjiri kota suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Mereka mengunjungi rumah Allah semata-mata untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya.

Walaupun proses menunaikan ibadah haji memerlukan wang yang banyak, apa yang dicari melebihi nilai dunia. Begitulah pengorbanan wang ringgit yang perlu dilaburkan dengan niat ikhlas mendapat keredaan Allah.

Sesungguhnya rezeki yang dikurniakan Allah, sebahagiannya mesti dilaburkan dalam usaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Kewajipan menunaikan ibadah haji tertanggung di atas bahu setiap individu Muslim yang berkemampuan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah" (Surah al-Baqarah, ayat 196).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ibadah haji itu wajib ditunaikan bagi mengharapkan keredaan Allah.

Sesungguhnya, dalam melaksanakan perintah Allah, setiap halangan yang datang perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya.

Beruntunglah bagi mereka yang berjaya mendepani setiap halangan dalam menunaikan ibadah haji dengan cara yang terbaik.

Perkara berkenaan dinyatakan Allah ketika menjelaskan perihal tetamu-Nya yang datang dari setiap pelosok dunia bagi menunaikan ibadah haji.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, mereka datang dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh" (Surah al-Hajj, ayat 27).

Setiap ibadah yang dilakukan di sepanjang musim haji mempunyai erti dan pengajaran yang tersendiri. Contohnya, pemakaian ihram dan tawaf memberi gambaran bahawa setiap manusia itu semuanya sama taraf di sisi Allah.

Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah masing-masing yang akan memberi perbezaan antara satu dengan lain.

Larangan dalam ihram juga sarat dengan hikmah yang menuntut kesabaran dan ketelitian dalam melaksanakan ibadah.

Hal berkenaan memberi pengertian bahawa setiap ibadah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim, harus ditunaikan dengan penuh teliti dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Wukuf di Arafah pula memberi gambaran suasana Mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia.

Suasana ini bukan saja perlu dirasai oleh jemaah haji, namun bagi mereka yang mampu menyaksikan suasana ini dari tanah air masing-masing, rasa keinsafan juga seharusnya dirasai.

Pada saat setiap manusia berkumpul di satu kawasan yang luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi.

Secara jelas, manusia itu hanya insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah dengan doa talbiah dan tasbih) di tempat Mash'aril Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebut-Nya sebagaimana Dia memberikan petunjuk hidayah kepada kamu" (Surah al-Baqarah, ayat 198).

Ibadah sa'ie antara bukit Safa dan Marwah pula membawa umat Islam menghayati pengorbanan seorang wanita yang akur dengan perintah Allah.

Sifat reda dan tawakal yang ditunjukkan Hajar, isteri Nabi Ibrahim mengajar manusia agar sentiasa meletakkan perintah Allah melebihi segalanya.

Maka, dengan kesabaran dan rasa berserah diri pada Allah, maka dibukakan jalan keluar untuknya dalam mengharungi kehidupan tanpa suami tercinta.

Inilah antara bukti kekuasaan Allah yang diperlihatkan di sebalik ibadah haji. Sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa memayungi hidup hamba yang taat atas setiap perintah-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa'ie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya" (Surah al-Baqarah, ayat 158).

Berdasarkan huraian ringkas berkaitan ibadah haji itu, sewajarnya setiap individu Muslim berazam untuk melaksanakan ibadah haji.

Bagi golongan muda khususnya, niat harus diletakkan sedari awal agar hasrat murni itu dipermudahkan Allah. Niat memainkan peranan yang penting bagi melaksanakan amal ibadah dalam Islam.

Niat bukan khayalan kosong, tetapi ia memainkan peranan yang besar dalam menjayakan tuntutan ibadah. Tanpa niat yang betul, amal ibadah tidak akan sempurna.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, niat untuk menunaikan ibadah haji perlu ditanam mulai sekarang. Niat yang murni bukan hanya sekadar niat, namun ia disertai dengan usaha dan gerak kerja ke arah hasrat yang hendak dicapai.

Menabunglah dari sekarang dan meletakkan sasaran serta mempersiapkan diri agar usaha murni kita dipermudahkan Allah.

Ambillah pengalaman jemaah haji sekembalinya mereka ke tanah air nanti supaya ia dapat memotivasikan diri untuk melakukan perkara yang sama.




Friday, October 22, 2010

Rebut Keistimewaan Jumaat (HARIAN METRO, Jumaat 22 Oktober 2010)


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir


SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.

Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar 'Saiyyidul ayyam' terpahat dalam banyak hadis Rasulullah.

Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat". (Hadis riwayat Muslim)

Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal." (Hadis riwayat Ahmad)

Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Jumu'ah ayat 9)

Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali.
Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah ayat 10)

Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah. Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah:
"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

"Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik." (Hadis riwayat Baihaqi)

Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) 'diam' sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raf, ayat 204)

Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah)." (Surah al-Mu'minun ayat 52)


Sunday, October 17, 2010

Selamat Maju Jaya!



Kepada Semua Sahabat & Pelajar Saya Di UIAM
Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Sem I, 2010/2011
Moga Kalian Diberi Kesihatan, Ketenangan & Kemudahan
Sepanjang Hari-Hari Peperiksaan
Usaha + Doa + Tawakkal = Al-Najah!



Saturday, October 9, 2010

Continuous Assessment Marks (CAM) Result For CCHB 1011-Section 4, 5 & 6


Section 4 [Click on the image to enlarge]


Section 5 [Click on the image to enlarge]

Section 6 [Click on the image to enlarge]



Assalamualaikum w.r.t w.k.t


Dear All My Students (CCHB 1011)- Section 4, 5 & 6 :
  1. The total Continuous Assessment Marks (CAM) Result is 80% and another 20% is for your final exam paper.

  2. You are advised to check your seat number at CCAC general office before final exam day (23 Oct 2010-Saturday).

  3. You may contact me if there is wrong culculation in your mark.

  4. Wish you all the best in your coming final exams! Do the best as you are! May Allah SWT always guide us.

اللهم افتح عليكم



Friday, October 8, 2010

Menuntut Ilmu Proses Berterusan (HARIAN METRO, Jumaat 8 Oktober 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


PEJAM celik, kita kini memasuki fasa kedua tahun 2010. Kebiasaannya, ketika ini institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengadakan majlis konvokesyen sebagai acara tahunan.

Selepas berhempas-pulas, akhirnya usaha mereka berbaloi apabila menggenggam segulung ijazah dan diraikan keluarga.

Mungkin bagi sesetengah graduan berasakan proses pembelajaran itu sesuatu yang rumit dan membebankan, maka pada hari konvokesyen itu segalanya berakhir.


Bagi mereka yang merancang memasuki alam pekerjaan, cabarannya pasti lebih hebat, apatah lagi dengan lambakan graduan yang tamat pengajian setiap tahun.

Mengikut perangkaan Kementerian Pengajian Tinggi tahun 2009, 34.3 peratus graduan masih menunggu penempatan pekerjaan dan belum bekerja.

Jika dirujuk kepada sebab belum bekerja, 71.8 peratus responden menyatakan mereka sedang mencari pekerjaan.

Daripada perangkaan itu, menunjukkan graduan menghadapi cabaran getir bagi memasarkan kepakaran dan kebolehan diri untuk diterima bekerja dalam apa juga sektor pekerjaan sama ada dalam sek­tor kerajaan, badan berkanun atau swasta.

Jika dikaji semula, antara puncanya graduan kurang memanfaatkan ruang dan peluang ketika belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelbagai aktiviti yang dirancang kurang mendapat perhatian, apatah lagi dengan sindrom ‘enjoy’ yang masih menebal.

Lebih-lebih lagi apabila­ ­mereka tidak perlu meng­hadapi masalah yang kritikal dari aspek kewangan. Segala­nya tersedia di depan mata, seterusnya membuatkan mereka alpa dibuai keseronokan yang sementara.

Perkara itu perlu menjadi iktibar kepada setiap pelajar IPT yang masih lagi belajar di universiti awam atau swasta.


Mereka perlu membabitkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti bakti siswa bagi menerapkan kemahiran penting yang diperlukan dalam sektor pekerjaan.

Setiap individu Muslim perlu menitikberatkan soal ilmu. Menuntut ilmu antara amalan yang amat dituntut Islam.

Ilmu membentuk keperibadian diri dan meningkatkan ­tahap keimanan dan ketakwaan seseorang kepada Allah.

Tanpa ilmu pengetahuan, manusia tidak akan dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan sempurna. Kekurangan ilmu akan menjadikan sese­orang itu hina di sisi masyarakat.

Allah meletakkan kedudukan orang berilmu itu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).


Dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman yang maksudnya:

“Dan hanya orang-orang yang berilmu saja yang dapat memahaminya.” (Surah al-Ankabut, ayat 43).


Rasulullah bersabda me­ngenai kelebihan orang yang mempunyai ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Ulama (ahli ilmu) adalah pewaris nabi.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibn Hibban).


Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah, malaikat-malaikat-Nya, serta semua penghuni bumi dan langit-Nya, sampai semut pun dalam liangnya, dan ikan dalam lautan, semuanya mendoakan bagi sesiapa sahaja yang mengajarkan sesuatu yang baik (ilmu) kepada manusia lain.” (Hadith Riwayat Tirmidzi).


Dengan ketinggian martabat orang yang berilmu, maka ­rahmat dan keredaan Allah akan sentiasa dilimpahkan kepada mereka.

Namun, perlu diingat untuk mendapat keredaan Allah manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredai-Nya dan yang tidak bertentangan dengan dasar syariat.

Perkara berkenaan menuntut manusia berusaha menguasai ilmu seberapa banyak yang boleh berdasarkan sumber yang sahih dan diiktiraf kesahihannya demi untuk memperoleh segala nikmat yang ada.

Kesimpulannya, marilah kita mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat untuk faedah di dunia dan akhirat.

Bagi mereka yang memiliki ilmu yang benar serta diperoleh dengan cara yang digariskan syarak, keberkatan akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup.

Perlu menjadi ingatan bersama ilmu itu wajib disebarkan dan dimanfaatkan untuk faedah orang lain. Tugas mulia itu antara tanggungjawab setiap manusia yang sanggup menggalas amanah Allah di atas muka bumi ini.



Thursday, October 7, 2010

Coretan Dari Mdm Martinelli Hashim: "Budaya al-Ma’thurat di UIAM"


* Madam Martinelli Hashim merupakan Head, Center for University Social Responsibility,(CENSERVE), International Islamic University Malaysia (IIUM). Beliau boleh dihubungi melalui laman blognya: http://blogs.iium.edu.my/martinelli


Suatu ketika dulu setiap pelajar UIA hafal bacaan Al-Ma’thurat, wirid indah yang dipopularkan oleh Imam Hassan Albana. Waktu itu pegawai2 STAD/HEP dan kebanyakan pensyarah adalah dari kalangan mereka yang mengamalkan wirid tsb.

Tiga amalan warga UIAM yang menjadikan UIA begitu unik adalah usrah, Al-Ma’thurat dan alunan Asma’ ulhusna. Ketiganya2 menjadi identiti budaya UIAM suatu ketika dulu selain daripada istilah2 arabic untuk kolej kediaman dan fakulti yang cukup memberi kesan kepada setiap pelajar. Songkok hitam yang dililit dengan pita logo warna emas akan membuat pemakai rasa bahagia menjadi warga UIAM.

Sehingga ke hari ini, semua pelajar baru masih dibekalkan dengan buku kecil ‘Al-Ma’thurat’. Tetapi berapa ramai agaknya yang menjadikannya wirid harian. Kalau ditanya siapa Hasan Albana pun tidak ramai pelajar yang tahu. Asma’ ul Husna masih dialunkan tetapi tidak sekerap dulu. Mereka yang mencintai kedamaian, keharmonian dan persaudaraan meyakini doa dan amalan tsb mempunyai impak yang besar dalam kehidupan seharian kita.

Apabila ianya menjadi budaya dengan semua orang di sekeliling kita mengamalkannya kita akan merasa rendah diri jika tidak mengamalkannya.

Sekadar mengulangi kembali, bukankah bacaan Alfatihah, Albaqarah, ayat kursi, al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas dan surah2 lain dalam Al-Ma’thurat adalah ayat2 Allah yang apabila dipandang saja pun sudah diberi pahala, apatah lagi jika diwiridkan. Membacanya dengan penuh penghayatan selepas subuh dan asar…… masyaAllah, syahdunya apabila membayangkan rahmat Allah yang begitu besar. Apalah lagi yang lebih kuat sebagai pengukuh jiwa seorang muslim kalau bukan Al-Qur’an zikir dan doa. Apalagi kehebatan warga UIA kalau bukan kehebatan pembudayaan ilmu, membaca Al-Qur’an, zikir dan doa.

Dulu setiap program pelajar mesti ada Qiyamullail. Sekarang aktiviti ‘explorace’, ‘telematch’, ‘cabutan bertuah’ mengambil tempat. Kata mereka untuk lebih ‘fun’ supaya lebih ramai orang datang. Yang terbaru pula ialah lenggang-lenggok poco poco…ramai yang menyukainya tetapi tidak sesuailah lelaki dan perempuan berjoget dengan goyang dangdut yang kelihatannya agaknya seksi dan ia dibuat tanpa ada dinding pemisah antara mereka. Silap kawalan ia akan membawa fitnah yang menjejaskan ibadah. Katanya untuk kesihatan. Niat yang baik tetapi perlulah berhati2 dengan syariat yang jadi pegangan kita. Lagu yang dipilih hendaklah bukan lagu yang senikatanya berunsur lucah. Itu yang tertulis dalam cultural guideline UIAM.

Misi Islamisasi UIA tidak mungkn berjaya tanpa Islamizaton of behaviour and Islamization of daily practice oleh warganya.

Saya amat runsing dengan gelagat pelajar yang semakin degil menutup aurat mereka dengan baik. Sudah 2 hari saya menegur seorang pelajar sewaktu saya keluar dari masjid kerana tudungnya yang sangat jarang, hanya terletak di kepala dengan leher terdedah,t-shirt ketat paras pinggang duduk di depan pintu masjid berbual rancak dengan kawannya2. Teguran seorang ibu yang disambut baik oleh pelajar berkenaan.

The deislamization of behavior (pengikisan sikap islami) yang dilakukan oleh segelintir pelajar melalui tindakan2 seperti tidak menutup aurat akan menjejaskan nama baik UIAM .

Ku Cari Keberkatan Ilmu...

Dengan usaha dan semangat yang kental, siapa pun boleh memiliki ilmu. Cakap sahaja apa bentuk ilmu, setiap manusiaakan dapat memperolehinya.


Tapi siapa yang boleh dapat lebih daripada itu? Ilmu datang dengan "keberkatan". Keyakinan wujudnya "keberkatan" dalam menuntut ilmu ini, memerlukan pemahaman yang amat dalam.


"Keberkatan" ini tidak boleh dilihat, namun dapat dirasai. Semua orang boleh mendapat "A" dalam subjeknya, tapi tiba-tiba ilmu hilang...lupa, setelah berakhirnya peperiksaan.


Nah...itu tanda, keberkatan dalam menuntut ilmu, gagal kita capai.


Masalah malas menelaah pelajaran, hilang tumpuan belajar, blur ketika menjawab soalan peperiksaan, malah failed untuk matapelajaran yang dah diyakini boleh score....itu juga tanda ilmu yang diperolehi tiada keberkatan.Apa cara nak dapat "keberkatan" ni??? Hanya dengan menjaga adab-adab menuntut ilmu serta melaksanakan tuntutan ilmu iaitu agar ianya dimanfaat dan disebar-luaskan kepada orang lain...itulah antara cara bagi mendapat "keberkatan" ilmu.


Usah mengejar sesuatu yang kelihatan zahirnya "gah", dan kita lupa sesuatu yang lebih besar, yang tak mampu kita lihat, tapi percayalah...ketiadaannya pasti kita rasai.



Sunday, October 3, 2010

"Study Circle" Dekat Di Hati Saya...



Diam tak diam, sudah hampir 8 semester saya mengajar subjek Study Circle di UIAM. Maknanya, hampir 4 tahun...sejak saya masih belajar peringkat ijazah Sarjana Muda.

Bagi saya, subjek ini merupakan wadah yang amat berguna buat mahasiswa dan mahasiswi UIAM. Cuba beritahu pada saya, universiti mana di dunia yang menawarkan subjek ini? Malah dimasukkan dalam CGPA pelajar! Peruntukan yang disalurkan untuk subjek ini juga amat besar!

Saya sering ingatkan pada pelajar bahawa, jangan anda harapkan yang anda akan dapat sesuatu yang "besar" apabila menghadiri kelas saya ini. Bagi saya, cukup jika anda berani mengutarakan pendapat anda secara ilmiah dan anda mampu menghormati pandangan orang lain! Bagi saya, ini sudah memadai.



Sepanjang mengendalikan subjek ini, banyak pengalaman yang saya timba. Pelbagai ragam pelajar yang perlu saya tangani. Kadang-kala timbul perasaan marah apabila masih terdapat pelajar yang bersikap acuh tak acuh dengan subjek ini. Ada yang sanggup menipu diri sendiri, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kehadiran!

Sebenarnya, sikap seperti ini menggambarkan betapa rendahnya maruah kita sebagai "ahli ilmu". Ilmu yang dicari bakal menjadi sumber rezeki pada masa akan datang. Mana mungkin rezeki yang dicari datang dari punca yang tidak bersih!



Mentaliti bahawa Study Circle adalah subjek picisan harus diubah dan diperbetulkan. Sesungguhnya subjek inilah yang bakal mendidik mahasiswa dan mahasiswi UIAM ke arah memiliki budi pekerti yang unggul.



Apa yang harus difahami oleh semua, target utama Study Circle adalah berkaitan personality development, dan bukan academic performance. Moga pengalaman mengendalikan subjek ini menjadi kenangan dan pengalaman berguna buat saya selepas meninggalkan UIAM nanti.





Friday, October 1, 2010

Selamat Bergraduasi Wahai Mahasiswa Universiti!


Sebagai seorang mahasiswa universiti, saat yang ditunggu ialah apabila tibanya hari istiadat konvokesyen. Pada saat inilah, rasa penat lelah "stay" malam, buat assignment, turun naik library, cari bilik lecturer...semuanya terbalas.



Apa yang penting, ialah apabila melihat wajah ceria dan berseri kedua orang tua. Seawal pagi lagi, mereka datang berbondong-bondong ke kampus tempat anak mereka membanting tulang, memerah keringat hampir 3-4 tahun. Mungkin, mereka dapat rasakan...sedikit sebanyak, jasa mereka selama ini dihargai oleh si anak.


Berdasarkan pengalaman saya, suasana semasa hari konvokesyen amat meriah. Bermacam ragam manusia dapat diperhatikan. Masing-masing membawa jambangan bunga untuk si anak yang sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke dewan istiadat konvokesyen. Tidak kira status hidup, yang kaya mahupun yang sederhana...wajah masing-masing penuh sinar kegembiraan.



Walaupun sanggup berletih kerana musafir yang jauh dari utara dan selatan tanah air, masing-masing berusaha menyembunyikan rasa penat lelah agar si anak tambah ceria di atas pentas tatkala menerima segulung ijazah.


Buat warga graduan UIAM yang bakal menerima ijazah masing-masing esok, ucapan TAHNIAH saya ucapkan. Sesungguhnya kehidupan baru anda baru hendak bermula. Pastikan diri anda telah cukup sabar dan tabah menanti panggilan temuduga atas permohonan yang anda utarakan. Zahirkan kesyukuran anda atas nikmat kurniaan Ilahi ini dengan memuji dan bertasbih kepada-Nya. Moga nikmat seumpama ini terus anda nikmati kelak.



Buat warga mahasiswa yang masih berusaha mengikut jejak langkah para graduan, berusahalah sebaik mungkin untuk menambah "nilai" dalam diri anda. Jika anda cemerlang dalam pelajaran, namun anda seorang yang pasif, tidak bercampur dengan masyarakat, lebih suka menyendiri, rasa rugi jika sedikit masa anda dimanfaatkan untuk orang lain, rasa malas untuk berpersatuan dan berprogram, tidak mahu membaiki skil komunikasi anda...maka janganlah bersedih jika tiada yang ingin memilih anda sebagai rakan sekerjanya.


Yang lebih penting, manfaatkan segala ilmu yang baik, yang ditimba semasa di universiti ini, untuk digunakan pada masa akan datang. Sentiasa lakukan yang terbaik untuk agama, negara, keluarga dan diri sendiri. Doakan juga guru-guru anda senantiasa dirahmati Allah agar ilmu yang dicurahkan kepada anda senantiasa berkat! :)




Friday, September 24, 2010

Amalan Mulia Di Hari Raya (HARIAN METRO, Jumaat 17 September 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


SELEPAS sebulan menunaikan ibadah puasa, umat Islam kini sedang menyambut kemenangan dengan kehadiran Syawal.

Ramadan menjanjikan keampunan Allah kepada hamba-Nya yang bertaubat serta bersungguh-sungguh mengharapkan keredaan-Nya.

Justeru, malang sekali bagi hamba-Nya yang masih dibelenggu dosa atas kesalahan mereka lakukan sedangkan Ramadan sudah melabuhkan tirainya.

Hanya hamba Allah yang beriman dengan teguh kepada-Nya akan berjaya melaksanakan tuntutan Ramadan serta merebut ganjaran yang terbentang luas.

Maka beruntunglah bagi mereka yang diampuni Allah segala dosanya yang lalu pada bulan Ramadan lalu. Apabila giliran Syawal tiba peluang harus dimanfaatkan untuk memohon kemaafan sesama insan.

Manusia biasa sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jadi tuntutan meminta maaf sesama manusia menjadikan hubungan mereka terus bertaut selamanya. Menjadi kesalahan bagi seorang Muslim yang menjadikan Syawal sebagai satu-satunya masa dan peluang untuk meminta dan memberi kemaafan.

Peluang keemasan itu perlu dijadikan titik permulaan agar setiap individu Muslim tidak berasa janggal untuk meminta dan memberi kemaafan, lantaran semuanya melakukan amalan yang sama.

Sifat pemaaf bukan sahaja menonjolkan peribadi Muslim yang berbudi pekerti mulia, malah ia mencermin­kan keindahan Islam sebagai agama yang benar dan tinggi.

Allah menjelaskan bahawa amalan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan murni seterusnya melayakkan seorang Muslim mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Terimalah kemaafan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang-orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199).

Sebenarnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf juga mempunyai kaitan dengan sifat sabar. Dengan bersabar, ego dapat ditundukkan, maka lahirlah perasaan mudah untuk meminta maaf dan juga memberi kemaafan kepada pihak lain.

Allah memberi peringatan betapa pentingnya sifat sabar dalam diri setiap Muslim. Firman Allah yang bermaksud: “Maka bersabarlah, dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5).

Allah juga berfirman yang bermaksud: “Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46).

Amalan meminta maaf dan sifat pemaaf seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan seharian bagi mereka yang bergelar Muslim sejati.

Hakikatnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu saja.

Amalan meminta maaf bukan hanya amalan hamba terhadap tuannya, pekerja terhadap majikannya, murid kepada gurunya, golongan muda kepada golongan tua, bahkan ia amalan yang dituntut kepada sesiapa saja yang melakukan kesilapan, tidak mengira darjat dan pangkat. Malah jika ibu bapa ada melakukan kesilapan kepada anak mereka, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf kepada anak, apatah lagi jika sebaliknya.

Selain itu, satu lagi amalan yang harus dikekal dan diamalkan pada hari raya ialah amalan memberi ucapan selamat kepada sesama Muslim.

Budaya yang memang menjadi amalan umat Islam di Malaysia semasa hari raya perlu terus disemarakkan kerana ia selari dengan tuntutan Islam.

Jika dilihat senario semasa, budaya menghantar kad ucapan hari raya adalah satu amalan yang baik, hampir pupus disebabkan faktor sekeliling. Namun dengan kemajuan dunia teknologi masa kini seperti sistem pesanan ringkas, e-mel, laman sosial peribadi seperti friendster dan facebook harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menghidupkan budaya memberi ucapan selamat kepada saudara Islam pada musim perayaan.

Inilah antara amalan salaf al-salih seperti golongan sahabat Rasulullah pada hari raya. Daripada Jubair bin Nafir, beliau berkata: “Sahabat Rasulullah apabila bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan antara satu dengan yang lain: ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu’”.



MINDA: Berusaha Capai Puasa Terbaik (HARIAN METRO, Rabu 1 September 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


KESYUKURAN kepada Allah wajib dipanjatkan atas kurniaan-Nya menemukan kita dengan Ramadan kali ini. Ramadan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kembali lagi membawa seribu satu rahmat dan keberkatan.

Menjadi satu kewajipan umat Islam merebut peluang keemasan dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap saat dalam bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang diredai-Nya.

Sebuah hadis yang sahih menerangkan secara jelas bahawa ganjaran besar menanti orang Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan.

Tiada ganjaran yang lebih besar selain Allah mengampunkan hamba-Nya yang tidak pernah lekang daripada melakukan dosa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun, dalam keghairahan merebut peluang keemasan sepanjang Ramadan, kadang-kadang terdapat beberapa perkara terlepas daripada kawalan kita.


Meskipun mungkin sesetengah pendapat melihat perkara itu sebagai remeh, hakikatnya ia mampu mencacatkan malah mungkin menyebabkan puasa kita tertolak.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan ibadat kita mencapai tahap yang terbaik iaitu: Bersahur pada waktunya.

Perkara itu perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah yang membezakan ibadat puasa umat Islam dengan puasa yang dilakukan agama lain.

Mungkin ramai yang mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam dan meninggalkan sahur. Perkara itu tidak tepat kerana bersahur adalah sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu subuh.

Sesungguhnya terdapat keberkatan yang menunggu mereka yang bersahur. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Menyegerakan berbuka puasa. Hal itu perlu diberi peringatan kerana terdapat antara kita yang melakukan sambil lewa.

Sekiranya yakin masuknya waktu Maghrib kita digalakkan segera berbuka.

Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan seribu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadat dengan tepat menurut garis panduan yang ditetapkan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari).

Bersederhana ketika berbuka. Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika waktu berbuka.

Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan sehingga akhirnya, hanya sebahagian saja yang mampu dihabiskan manakala bakinya dibuang.

Inilah antara dugaan bagi golongan yang berpuasa. Jika keadaan ini tidak dikawal, maka sudah pasti ibadat puasa yang dilakukan hampir separuh hari itu tidak mampu untuk mendidik jiwa dan mengawal hawa nafsu dengan sempurna.

Jika dilihat daripada sunnah Rasulullah, baginda amat bersederhana ketika berbuka puasa. “Rasulullah berbuka puasa dengan kurma rutab sebelum solat, dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar, dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air.” (hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmidzi).

Menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah. Seperkara yang perlu menjadi perhatian kita ialah perlunya mengetahui antara perkara yang utama dengan yang lebih utama.

Ibadat puasa adalah utama, namun solat lima waktu lebih utama untuk ditunaikan secara yang lebih sempurna.

Sesetengah daripada kita tidak memandang solat sebagai satu ibadat yang perlu ditunaikan pada tahap yang sempurna kerana jika tidak, ia bakal mencacatkan ibadat puasa.

Seharusnya kita berlumba menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah. Rasulullah ketika ditanya oleh sahabat berkaitan amalan yang terbaik, maka Baginda menjawab: “Solat pada awal waktunya.” (hadis riwayat Tirmidzi dan Abu Daud).

Lebih malang, jika terdapat antara umat Islam yang berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa menunaikan solat lima waktu. Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama.

Memperbanyakkan doa. Secara jelas antara keadaan yang mana doa dimakbulkan Allah ialah apabila ia dilakukan oleh orang yang berpuasa.

Inilah antara rahmat yang bakal diperoleh umat Islam di bulan Ramadan. Setiap permintaan dan hajat yang baik dan dipanjatkan secara ikhlas dan rendah diri, pasti dimakbulkan oleh Allah.

Ambillah peluang untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan, keamanan, keberkatan, keampunan buat seluruh umat Islam di segenap pelosok dunia.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak akan tertolak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Dalam satu hadis sahih diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa beliau diajar Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni”, yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.” (hadis riwayat Tirmidzi).

Bertadarus al-Quran. Jika disingkap dalam sirah Rasulullah, tadarus adalah sunnah Rasulullah. Baginda bertadarus dengan malaikat Jibril pada setiap Ramadan dan pada Ramadan terakhir sebelum kewafatan baginda mereka bertadarus sebanyak dua kali.

Sebenarnya yang disebut sebagai tadarus ialah apabila ia dilakukan dua pihak, iaitu satu pihak membaca, manakala pihak kedua mendengar sambil memperbetulkan kesilapan bacaan dan seterusnya secara bergilir-gilir. Inilah konsep tadarus yang sebenar iaitu membaca dan menyemak bacaan.

Perkara itu yang menjadi tujuan Rasulullah bertadarus bersama malaikat Jibril iaitu antara lain untuk memastikan al-Quran itu tepat tanpa ada sebarang kesilapan.

Selain itu, kita perlu mengawal pemakanan ketika berbuka puasa. Perkara berkenaan memang remeh tetapi sebenarnya membawa implikasi yang besar.

Bayangkan ketika bersembahyang jemaah ada kalangan mereka yang sendawa secara bebas ketika solat di masjid. Sudah pasti keadaan ini boleh mengganggu tumpuan jemaah lain malah ditakuti boleh menyakiti hati mereka.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang makan bawang putih atau merah (yang kuat baunya), maka jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah di rumah sahaja.” (Hadis riwayat Bukhari).

Mengawal setiap kata-kata dan perbuatan. Perkara-perkara buruk seperti melemparkan kata-kata kesat, mengumpat, menyebarkan fitnah adalah antara perkara yang amat mudah terdedah kepada kita.

Justeru, sempena bulan yang mulia ini, kita seharusnya menjadi seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata dan perbuatan seharian.