Saturday, May 19, 2012

ULASAN: Budaya Kerja Dalam Islam

Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Islam menganjurkan setiap umatnya untuk berusaha mencari rezeki yang halal dengan kudrat sendiri. Islam melarang umatnya bergantung harap kepada Allah SWT tanpa berusaha untuk memperolehi rezeki sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda SAW menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.” (Hadis riwayat Ahmad).


2. Hakikatnya, setiap manusia telah ditetapkan rezeki yang tertentu oleh Allah SWT. Mereka hanya perlu berikhtiar sedikit lagi untuk mendapatkan rezeki tersebut. Islam juga melarang kita mengamalkan sikap meminta-minta daripada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu mengambil talinya (keluar mencari kayu), kemudian dia memikul seberkas kayu api di atas belakangnya, lalu dijualnya, maka dengan itu Allah memeliharakan air mukanya adalah lebih baik daripada ia meminta-minta daripada orang lain, sama ada diberi atau tidak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


3. Dalam usaha mencari rezeki, kita tidak boleh lupa tentang tatacara atau garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maksudnya di sini, antara perkara yang perlu dititik beratkan ialah soal halal atau haram pekerjaan yang kita lakukan. Dalam Islam, sifirnya sangat mudah. Jika rezeki yang kita cari itu sumbernya halal, maka kehidupan kita akan diberkati dan setiap usaha mencari rezeki itu akan diberi pahala. Sebaliknya, jika rezeki yang kita cari itu sumbernya haram, maka kehidupan kita akan jauh dari keberkatan Allah SWT, ditambah pula dengan dosa yang akan dipikul. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat ialah orang yang mencari harta secara tidak halal, lalu ia masuk ke neraka bersama hartanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


4. Apabila bercakap soal “keberkatan”, satu lagi perkara yang perlu kita jaga ialah bagaimana untuk menjamin keberkatan dalam rezeki kita. Terdapat sesetengah orang yang secara zahir, pekerjaannya halal, tetapi rezeki yang diperolehinya tidak berkat. Antara sebabnya ialah terdapat perkara-perkara shubhah dalam urusan pekerjaan yang dilakukannya. Inilah yang perlu kita lakukan muhasabah dalam diri.


5. Antara fenomena negatif yang melanda kebanyakan individu dalam masyarakat kita ialah masalah “curi tulang” semasa waktu bekerja. Golongan seperti ini lebih suka berbual kosong, melayari internet tanpa faedah, keluar makan pada waktu kerja, menggunakan fasiliti pejabat untuk kegunaan peribadi dan lain-lain. Seharusnya perkara ini dijauhkan sama sekali. Atau setidak-tidaknya kita berusaha dari sekarang untuk mengurangkan gejala negatif ini.


6. Fenomena ini menggambarkan betapa kita tidak mengambil berat tentang soal keberkatan rezeki. Sebab itu, mungkin ada dalam kalangan kita yang gaji bulanannya mencecah puluhan ribu, namun kehidupannya masih serba kekurangan, keluarganya tidak harmoni, dan dilanda dengan pelbagai masalah. Tidak dinafikan, inilah antara tanda-tanda rezeki yang diperolehi itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.


7. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi sekiranya kita sentiasa berusaha untuk mendapat kepuasan daripada hasil kerja sendiri. Kita perlu tanam perasaan gembira apabila tugasan yang diberikan oleh majikan berjaya disiapkan dengan hasil yang terbaik. Laporan Asean Conference on Civil Service Matters pada tahun 1993 menyebut bahawa pegawai (penjawat awam) perlu digalakkan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab mereka, tetapi juga mendapatkan kepuasan peribadi apabila mereka Berjaya melaksanakan tugas yang diberi. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).


8. Perkara yang penting sekarang, setiap pekerja Muslim perlu sedar bahawa mereka perlu berubah sekiranya sebelum ini, perkara-perkara yang disebutkan tadi menjadi amalan mereka. Perlu berusaha memperbaiki mutu dan prestasi kerja bermula dari sekarang. Indahnya Islam, kita mempunyai alternatif bagi memperbaiki diri. Jika dilihat daripada senario amalan negatif tadi, sudah pasti rezeki yang kita terima mempunyai masalah dari segi keberkatannya. Namun, Islam menyediakan ruang bagi kita untuk menebus kesalahan yang telah kita lakukan. Sebab itu kita ada zakat yang wajib dan sedekah yang sunat. Inilah antara alternatif terbaik bagi menjamin rezeki kita diberkati Allah SWT. Sesungguhnya zakat dan sedekah itu pembersih kepada rezeki yang kita perolehi. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah al-Taubah, ayat 103).


9. Menyentuh soal halal dan haram rezeki yang kita perolehi. Selain daripada fenomena yang menyumbang wujudnya shubhah dalam rezeki, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang jelas pengharamannya dalam Islam. Antaranya ialah budaya rasuah. Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau sebarang hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang sudah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang salah. Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan sebagai alas an bagi mengaburi mata orang ramai untuk menghalalkan perbuatan rasuah itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sudah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah pencuri.” (Hadis riwayat Abu Dawud). Sesungguhnya penerima dan pemberi rasuah telah melakukan dosa besar dan bakal menerima seksaan yang pedih di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah akan ditempatkan di neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


10. Sebagai seorang pekerja Muslim, kita perlu bersyukur di atas anugerah pekerjaan yang kita ada sekarang. Tidak salah untuk berusaha meningkatkan taraf hidup dengan mencari pekerjaan yang lebih baik. Namun, ini bukan penyebab untuk kita bersikap acuh tak acuh dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Kita perlu sentiasa berfikiran positif dan memotivasikan diri sendiri agar sentiasa proaktif dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Menunaikan amanah kerja dengan cara yang terbaik menunjukkan rasa syukur kita di atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34).


11. Kita harus sedar bahawa, apa juga perbuatan yang kita lakukan, walaupun ia di luar pengetahuan pihak majikan kita, tetapi ia tidak sekali-kali berada di luar pengetahuan Allah SWT. Malah kesemua perbuatan kita di dunia, termasuk yang dilakukan semasa bekerja, akan diperlihatkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105).


12. Setiap kebaikan yang kita lakukan semasa menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja, pasti akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Kadang-kadang terdapat dalam kalangan kita yang cepat terasa hati kerana tidak diberi anugerah atau hadiah atas perkhidmatannya yang cemerlang, lalu merajuk, mogok serta hilang semangat untuk terus melaksanakan kerja dengan cara terbaik. Ingatlah, ganjaran daripada Allah SWT itu lebih baik daripada yang selainnya. Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, (sama ada) lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan berikan balasan pahala kepada mereka yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 97).



Friday, May 18, 2012

ULASAN: Zuriat Bawa Rahmat Bukan Malapetaka

Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah. Anak tersebut tidak membawa sebarang dosa yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya. Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat dicorakkan oleh orang tuanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Menerusi hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa bayi yang dilahirkan adalah suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Oleh itu, adalah satu tanggapan yang salah bagi mereka yang berpendapat bahawa anak kecil yang baru dilahirkan, kadang kala membawa sial atau malapetaka kepada keluarganya. Para ulama berpendapat bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, secara logiknya, bagaimana mungkin si anak kecil boleh menanggung dan membawa sial atau malapetaka kepada orang lain, sedangkan ia suci dan bersih pada waktu kelahirannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-Najm, ayat 38).

3. Pemahaman karut tentang sial yang dibawa oleh anak ini merupakan antara pemahaman golongan Arab Jahiliah, sebelum kedatangan Islam. Golongan ini berpendapat bahawa anak perempuan yang lahir dalam sesebuah keluarga, akan mendatangkan keaiban dan malapetaka terhadap keluarga tersebut. Justeru, mereka akan menanam bayi perempuan tersebut hidup-hidup. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sekiranya salah seorang diberitahu tentang kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi merah kerana terlalu marah dan mereka menyembunyikan diri daripada kaumnya kerana keburukan daripada berita yang disampaikan. Apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanam dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (Surah al-Nahl, ayat 58-59).

4. Selain itu, terdapat juga kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan anak mereka, lantas membunuh anak yang tidak berdosa itu. Allah SWT menjelaskan bahawa urusan rezeki adalah dalam ketetapan-Nya. Maka tidak wajar ada manusia yang merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan untuk membesarkan zuriat mereka. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31).

5. Berdasarkan dalil-dalil ini, maka tidak benar sama sekali pendapat sesetengah daripada masyarakat kita tentang sial atau malapetaka yang dibawa oleh bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya, kita perlu faham bahawa kelahiran zuriat merupakan satu rahmat bagi sesebuah keluarga. Zuriat merupakan satu amanah daripada Allah SWT. Bagi yang berjaya memikul amanah tersebut, maka amat besar ganjaran yang akan dinikmatinya kelak. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28).

6. Sebenarnya, masih terdapat banyak amalan karut berkaitan kelahiran bayi yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini. Kepercayaan tersebut yang sebenarnya boleh membawa kepada rosaknya akidah, perlu ditinggalkan. Contohnya, adat “kirim perut” yang dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang sial atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut. Selain itu, selepas kelahiran terdapat pula adat yang dipanggil “turun tanah”. Ia sebagai meraikan anak yang baharu pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Tidak kurang juga bayi yang dipakaikan tangkal kuning atau hitam pada pinggangnya bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Semuanya ini merupakan amalan yang tidak disyariatkan dalam Islam. Malah wajar ditinggalkan kerana ia boleh membawa kepada syirik. Ingatlah bahawa dosa syirik adalah satu dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.

7. Sebenarnya, kepercayaan karut seperti ini berlaku kerana rapuhnya iman seseorang terhadap ketentuan Allah SWT. Mereka hanya memandai-mandai membuat kesimpulan sendiri terhadap ketentuan hidup mereka. Masalah bankrap dalam perniagaan, ditimpa malapetaka dan bencana, menerima berita sedih kerana kematian dan sebagainya merupakan satu ketetapan Allah SWT dan bukan disebabkan zuriat yang tidak berdosa. Sekiranya setiap umat Islam faham dengan konsep qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT, maka mereka tidak akan sesekali merasa kecewa, sebaliknya terus bersangka baik dengan Allah SWT dan bersedia mengharungi dugaan tersebut dengan redha dan tawakkal. Sesungguhnya kekuasaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu perkara adalah bersifat mutlak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: ‘Jadilah’. Lalu jadilah ia.” (Surah al-Baqarah, ayat 117).

8. Sesungguhnya, anak merupakan anugerah Allah SWT yang cukup berharga kepada ibu bapa serta amanah untuk dipelihara dengan sempurna, termasuk memastikan keselamatannya di dunia dan akhirat. Berapa ramai dalam kalangan kita yang masih belum dikurniakan anak. Justeru, bagi yang telah memperolehi nikmat memiliki zuriat sendiri, maka peliharalah zuriat tersebut dengan sebaiknya, dan hindari diri daripada mensia-siakan zuriat tersebut dengan kepercayaan karut yang menyesatkan.


9. Dugaan tidak dikurniakan anak merupakan antara dugaan besar yang ditanggung oleh pasangan yang sudah berkahwin. Hal ini turut dirasai oleh Nabi Zakaria AS yang hanya dikurniakan zuriat tatkala usianya telah lewat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala dia menyeru Tuhannya: ‘Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah waris yang paling baik (diserahkan segala urusan kepada-MU).’” (Surah al-Anbiya’, ayat 89).

10. Dalam sebuah hadis, dirakamkan betapa hibanya hati Rasulullah SAW dengan perginya anak lelaki Baginda yang bernama Ibrahim menemui Tuhannya. Rasa sedih seorang bapa ini menunjukkan betapa besar nikmat Allah SWT yang telah mengurniakan Baginda seorang cahaya mata lelaki, namun nikmat itu hanya datang seketika. Rasulullah SAW menitiskan air mata ketika kematian anak lelakinya, sambil bersabda: “Sesungguhnya mata itu menangis, hati pula bersedih, kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredhakan oleh Tuhan kami, dan kami semua disebabkan perpisahan dengan kamu ini, Ya Ibrahim (anak Nabi SAW) teramatlah sedih.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

11.  Kepada para ibu bapa, bersyukurlah dengan kurniaan zuriat yang sekiranya berjaya dididik dengan didikan Islam, ia akan menjadi ‘saham’ berguna ketika di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan.” (Surah al-Tur, ayat 21).

12. Hindarkanlah diri daripada kepercayaan dan amalan karut, kerana semuanya ini mampu merencatkan proses pembentukan keperibadian seorang anak yang soleh dan solehah. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa-doa yang baik agar akan lahir dalam kalangan kita zuriat yang soleh dan solehah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS tatkala dikurniakan dua orang putera yang soleh iaitu Nabi Ismail AS dan Nabi Ishaq AS. Doa Nabi Ibrahim AS telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an: “Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku pada hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim, ayat 39).

Thursday, January 19, 2012

RENUNGAN BUAT PENCINTA SYURGA


Penulis: MOHD SHAHRIZAL NASIR
ISBN: 978-967-86-0390-4
Halaman: 288

"Mencari redha ILAHI itu tidak mudah,tapi itulah ujian buat kita semua. Sebagai tanda kita ini hamba-NYA, hati yang tunduk dan istiqamah itu perlu sepanjang masa. Hidup ini juga tidak lama, akhirat sana menjadi kampung abadi buat kita. Sebelum menutup mata, sempurnakanlah segala tuntutan agama agar kita diterima-NYA."

SYURGA itu destinasi impian setiap insan yang punya nikmat tidak terhingga. Kenikmatan ini tidak akan mampu dicapai indera… belum pernah dilihat dek mata, tidak pernah didengar dek telinga dan tiada pernah terdetik dek fikiran sesiapa pun. Indahnya syurga hanya layak untuk hamba yang menyerah diri pada-NYA.

Al-Jannah itu kurniaan ILAHI untuk para hamba-NYA yang beriman dan beramal soleh. Bersyukurlah jika hati cenderung pada-NYA, namun itu bukanlah tiket untuk kita alpa. Godaan dunia pasti menimpa… menarik kita agar lupa pada-NYA. Dan pada ketika itulah, kita sebenarnya dihujani ujian sebagai bukti keimanan.

RENUNGAN BUAT PENCINTA SYURGA menggarap pelbagai persoalan penting yang kita mungkin tanpa sengaja melupakannya. Selidiklah diri agar sentiasa tetap pada jalan-NYA. Berusahalah… moga setiap amalan yang kita lakukan, redha ALLAH jua menjadi jaminan ganjaran. Mudah-mudahan syurga itu milik kita.

Antara Kandungan Menarik:
• Kepentingan Masa Dalam Islam
• Persiapan Diri Menanti Hari Kiamat
• Manfaatkan Peluang Sayyidul Ayyam
• Memuliakan Tetamu Undang Rahmat
• Martabat Guru Setanding Para Ulama
• Hijrah Didik Umat Atur Strategi Hidup
• Bertunang Bukan Lesen Hubungan Bebas
• Redha Ibu Bapa Jamin Keberkatan Hidup
• Malas Berfikir Punca Umat Islam Mundur
• Tunai Hak al-Quran Tanggungjawab Semua


Monday, November 14, 2011

Kecelaruan Terhadap Qissah al-Qur'an


Qissah merupakan salah satu daripada uslub al-Qur’an. Secara literal, perkataan “Qissah” membawa maksud “تتبع الأثر” iaitu “menjejaki kesan”. Makna inilah yang dimaksudkan pada ayat 64 surah al-Kahf. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Nabi Musa berkata: ‘Itulah yang kita kehendaki’; mereka pun balik semula ke situ dengan menurut jejak mereka.” Dalam ayat tersebut, perkataan “qasas” diterjemahkan sebagai “jejak mereka”. Dari sini, kita dapat mengetahui bahawa terjemahan perkataan “qasas” ini mengambil makna literal perkataan “qissah” sepertimana yang dijelaskan tadi.
Menurut Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, terdapat 3 jenis qissah dalam al-Qur’an, iaitu:
1. Qissah Para Nabi seperti qissah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan lain-lain.
2. Qissah Qur’ani seperti qissah Ashab al-Kahf, qissah Dzu al-Qarnayn, qissah Ashab al-Sabt dan Maryam dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sebelum kelahiran Rasulullah SAW.
3. Qissah Rasulullah seperti qissah perang Badr, qissah perang Uhud, qissah Hijrah dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sepanjang hayat Rasulullah SAW.
Perlu dijelaskan di sini bahawa qissah al-Qur’an ini tidak boleh sama sekali, dengan apa juga tujuan disama ertikan dengan “cerita”, sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Cerita atau kisah yang difahami dalam dunia kesusasteraan Melayu sebagai salah satu bentuk seni adalah berbeza dengan maksud dan ciri-ciri “qissah” yang dirakamkan dalam al-Qur’an.
Beberapa ciri-ciri qissah al-Qur’an secara jelas menunjukkan ianya berbeza dengan pemahaman orang sastera Melayu tentang “cerita”. Jika kita fahami dengan cermat, qissah al-Qur’an bersifat benar. Dengan kata mudah, kesemua qissah al-Qur’an adalah satu qissah yang benar-benar berlaku pada satu ketika yang termaklum. Ianya bukan sama sekali kisah khayalan atau ciptaan. Inilah yang harus difahami dengan cermat oleh orang yang mendakwa al-Qur’an mengandungi atau sarat dengan “cerita”. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami qissahkan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahf, ayat 13).
Berdasarkan penerangan ini, sekali lagi ditegaskan bahawa perkataan “cerita” tidak sesuai untuk membawa maksud perkataan “al-qissah” yang merujuk kepada qissah al-Qur’an.
Selain itu, jika kita dalami ciri-ciri “qissah al-Qur’an”, kita akan dapati bahawa qissah tersebut tidak bersifat terperinci. Malah pada sesetengah tempat, sesebuah qissah itu bertaburan dalam beberapa surah al-Qur’an. Terdapat juga potongan ayat al-Qur’an yang berkaitan sesebuah qissah diulang beberapa kali dalam beberapa tempat atau surah al-Qur’an. Justeru, apakah ciri-ciri ini menunjukkan al-Qur’an itu dipenuhi dengan qissah? Adakah perjalanan qissah menjadi keutamaan?
Pernahkah kita terfikir tentang hal ini?
Sudah pasti, terdapat tujuan tertentu daripada ciri-ciri qissah al-Qur’an. Inilah yang dinyatakan dalam banyak kitab-kitab perbincangan ‘Ulum al-Qur’an. Para ulama’ berpendapat bahawa qissah al-Qur’an itu bukan diwahyukan untuk tujuan hiburan, keseronokan atau dijadikan pembacaan pada waktu senggang dan lapang. Uslub Qissah dirakamkan dalam al-Qur’an adalah dengan tujuan yang jelas iaitu agar manusia mengambil pengajaran atau disebut sebagai “عبرة” dalam bahasa Arab. Pengajaran inilah yang menjadi tujuan utama perakaman qissah dalam al-Qur’an dan bukan perjalanan qissah tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Demi sesungguhnya qissah mereka (para Nabi) itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Qissah yang terkandung dalam al-Qur’an) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111).
Menerusi mafhum ayat di atas, tanpa ragu-ragu, kita dapat fahami bahawa qissah yang dirakamkan di dalam al-Qur’an itu mempunyai beberapa ciri penting. Antaranya:
1. Mengandungi ‘ibrah atau pengajaran.
2. Bukan cerita yang diada-adakan.
3. Mengesahkan sesuatu yang telah berlaku.
4. Menjelaskan sesuatu perkara (ada tujuan).
5. Menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Inilah ciri-ciri qissah al-Qur’an yang dijelaskan dalam ayat 12, Surah Yusuf. Atas dasar inilah, saya menolak pandangan yang menyamakan perkataan “qissah” dengan “cerita” iaitu satu daripada bentuk seni dalam kesusasteraan Melayu. Sekiranya kita letak ke tepi ciri kelima seperti yang saya nyatakan di atas, adakah cerita yang kita fahami sekarang sama dari segi cirinya dengan qissah al-Qur’an (ciri 1-4)?
Justeru adalah sesuatu yang salah dan tersasar, sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang cuba memanfaatkan qissah al-Qur’an dalam penghasilan karya seni mereka dengan cara yang salah. Malah memanfaatkan istilahnya secara tidak cermat, juga boleh mengundang kesesatan.
Bagi mereka yang galak mengatakan al-Qur’an menggunakan kaedah penceritaan di dalamnya. Malah ada pihak yang tanpa cermat mengakui bahawa karya mereka menggunakan teknik “penceritaan” al-Qur’an. Di sini, ingin saya ajukan beberapa persoalan. Adakah hasil karya tersebut mengutamakan ‘ibrah? Adakah karya tersebut menjunjung kebenaran? Adakah karya tersebut menolak khayalan? Adakah karya tersebut bertujuan menjelaskan sesuatu perkara pokok?
Persoalan ini perlu dijawab oleh mereka yang membuat dakwaan tersebut.
Sebenarnya, kecelaruan pemahaman istilah “qissah” dalam dunia kesusasteraan Melayu ini harus diperbetulkan. Sekiranya masyarakat faham bahawa istilah “qissah” yang digunakan dalam al-Qur’an itu sama dengan makna “cerita”, maka ia merupakan satu kecelaruan yang nyata. Yang menjadi parah lagi, sekiranya keadaan ini membuka ruang kepada khalayak ramai khususnya para penulis yang celaru, lantas mendakwa karya mereka setanding dengan qissah al-Qur’an. Hal inilah yang menjadi kekhuatiran saya. Semakin ramai yang mendakwa karya mereka berkualiti kerana mengikut teknik al-Qur’an, sedangkan hakikatnya mereka berada dalam kecelaruan yang nyata tatkala menterjemahkan “qissah” sebagai “cerita”.
Tanpa disedari, kecelaruan ini telah merendahkan martabat al-Qur’an. Inilah yang dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya bertajuk “Al-Qur’an, Ilmu, Disiplin Islami Dan Sastera”. Makalah ini termuat dalam buku berjudul “Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis” yang disunting oleh Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir. Menurut Dr. Zulkarnain, “adalah penting untuk menarik perhatian kepada implikasi pengabaian atau ceteknya fahaman i’jaz ini dalam konteks amalan sastera dewasa ini, khususnya dalam kalangan penulis kreatif dan juga pengkritik. Seperti yang telah dihujahkan, disiplin manusia tidak boleh dicampuradukkan dengan i’jaz al-Qur’an kerana ia bukan saja boleh memberi gambaran salah tentang al-Qur’an tetapi mengakibatkan berlakunya manipulasi al-Qur’an itu sendiri. Umpamanya, genre novel atau cerpen yang berasal dari Barat (atau apa juga genre yang tidak disandarkan kepada fahaman tauhid) tidak boleh dihubungkaitkan dengan surah Yusuf sebagai satu i’jaz atau cerita yang paling indah. Perbandingan kedua-duanya boleh membawa kepada penafsiran yang salah terhadap al-Qur’an.” (halaman 100).
Perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Zulkarnain ini sangat jelas dan bagi saya, ianya terjadi berpunca daripada pemahaman sesetengah pihak yang salah membuat tafsiran yang mungkin disebabkan tujuan-tujuan tertentu. Dinukilkan oleh Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, telah berlaku satu perdebatan hebat sekitar tahun 1367 Hijriyyah apabila seorang calon PhD di salah sebuah universiti di Mesir menulis tesis bertajuk “الفن القصصي في القرآن” (Seni Qissah Di Dalam al-Qur’an). Perdebatan ilmiah tentang tajuk tesis ini berlaku kerana penilai tesis tersebut iaitu Prof. Dr. Ahmad Amin tidak bersetuju dengan tajuk dan isi kandungan tesis yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu merupakan satu cabang seni, sepertimana yang diusahakan oleh para penulis karya seni (Sila rujuk kitab di halaman 282, cetakan ke-5, 1998, Beirut: Mu’assasah al-Risalah).
Inilah satu lagi keadaan yang mencelarukan apabila terdapat individu yang cuba mengkaji sesuatu tanpa ilmu yang benar. Usaha ini secara jelas merendahkan martabat al-Qur’an yang tidak boleh disamakan dengan seni karya manusia. Berdasarkan hujahan yang telah saya nyatakan dalam ruangan ini, sekali lagi saya menegaskan bahawa qissah al-Qur’an tidak boleh sama sekali disamakan dengan “cerita” sama ada dari segi isinya mahupun pemahaman makna dan ciri-cirinya.
Akhirnya, saya mengajak para pembaca agar sentiasa berhati-hati dalam menyatakan sesuatu perkara. Setiap perkara khususnya yang melibatkan al-Qur’an perlu dijelaskan secara berhemah (jelas dan tepat) agar maklumat itu tidak menyesatkan diri sendiri dan orang lain.


Friday, November 4, 2011

Ayuh! Kita Rebut Ganjaran Bulan Zulhijjah


Bagi umat Islam, Allah SWT menganugerahkan dua hari kebesaran untuk diraikan menurut ketetapan Syarak. Dua hari kebesaran tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Hari Raya Puasa (Eid al-Fitr) dan Hari Raya Haji atau juga disebut Hari Raya Korban (Eid al-Adha). Sebenarnya, kedua-dua hari raya ini merupakan antara nikmat Allah SWT yang diberikan kepada seluruh umat Islam agar mereka terus bersyukur dan membesarkan keagungan dan keesaan Allah SWT.
Jika dilihat dari sirah Rasulullah SAW, setelah Baginda berhijrah ke Madinah, penduduk Madinah pada ketika itu meraikan dua hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari yang kamu bersenang-senang pada hari tersebut. Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih daripada dua hari itu, iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’i).
Kini kita telah memasuki bulan Zulhijjah, iaitu satu bulan yang memiliki kelebihan yang tersendiri. Kelebihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada hari kebesaran umat Islam yang akan disambut dalam bulan ini. Sepertimana yang diketahui umum, Hari Raya Korban (Eid al-Adha) jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Inilah yang dimaksudkan dengan kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW pernah menyatakan kelebihan bulan Zulhijjah berbanding bulan-bulan yang lain menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Dua bulan yang tidak memiliki kekurangan adalah bulan Ramadan dan Zulhijjah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jika difahami dengan lebih lanjut, kelebihan bulan Zulhijjah adalah pada 10 hari terawalnya. Ini berdasarkan beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan perkara ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi waktu fajar. Dan sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2). Menurut Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain, yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat tersebut ialah sepuluh malam atau sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah al-Hajj, ayat 28). Menurut Ibn Abbas, “hari-hari yang ditentukan” dalam ayat tersebut merujuk kepada sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW juga bersabda bagi menjelaskan kelebihan 10 hari bulan Zulhijjah ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: "Walaupun berjihad pada jalan Allah?" Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad pada jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." (Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan al-Tirmidzi).
Begitu besar ganjaran yang akan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang memanfaatkan peluang beribadah pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini (sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." (Hadis riwayat Ahmad).
Berdasarkan beberapa dalil al-Qur'an dan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita tentang kelebihan bulan Zulhijjah, khususnya pada sepuluh hari terawalnya. Ditambah pula dengan kehadiran salah satu hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Korban. Adalah wajar untuk kita semua merebut peluang yang cukup berharga ini dengan menunaikan amal kebajikan semaksimum mungkin pada bulan ini.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, di antara sebab-sebab keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan haji. Pada bulan-bulan lain, ibadat- ibadat besar dalam Islam ini tidak pernah terhimpun secara serentak sepertimana yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Banyak amal kebajikan yang boleh kita lakukan di sepanjang sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini. Antaranya ialah dengan banyak berzikir atau mengingati Allah SWT. Inilah amalan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan para salaf al-salih pada sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.
Sebenarnya, amalan berzikir atau sentiasa mengingati Allah SWT akan membawa banyak faedah kepada manusia khususnya dalam usaha mencapai ketenangan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).
Selain itu, kita juga dianjurkan untuk menunaikan ibadah puasa sunat terutama pada 9 Zulhijjah yang merupakan hari Arafah. Pada hari ini, umat Islam yang sedang melakukan ibadah haji, sedang berada di padang Arafah untuk menunaikan ibadah wukuf. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah, aku mengharapkan daripada Allah untuk menghapuskan dosa selama setahun yang telah berlalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan Baihaqi).
Perlu diingatkan di sini, bahawa ibadah puasa sunat hari Arafah hanya disyariatkan untuk mereka yang tidak menunaikan ibadah haji. Manakala umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji, maka ianya bukanlah satu tuntutan kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa ketika Baginda SAW sedang wukuf di Arafah. Selain itu, harus difahami bahawa, pada 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Korban (Eid al-Adha), umat Islam diharamkan untuk berpuasa. Di sinilah terpancarnya keindahan Islam yang tidak memaksa umatnya melakukan ibadah, ketika sebahagian besar umat Islam yang lain sedang bergembira meraikan hari kebesaran Islam.
Pada Hari Raya Korban yang jatuh pada bulan Zulhijjah, umat Islam dianjurkan untuk meraikan hari kebesaran ini menurut panduan yang telah digariskan oleh Islam. Hari kebesaran ini harus disambut sepertimana tatacara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Di antara perkara sunat yang boleh diamalkan pada hari raya ini ialah memperbanyakkan ucapan takbir, tahmid dan tahlil. Ucapan-ucapan ini adalah untuk menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dan mengiktiraf keagungan dan kebesaran-Nya. Berbeza dengan Hari Raya Puasa, pada Hari Raya Korban, umat Islam disunatkan melaungkan takbir selama empat hari iaitu pada 10 Zulhijjah dan juga pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Pada pagi Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah, umat Islam juga disunatkan untuk menunaikan solat sunat Eid al-Adha serta mendengar khutbah hari raya. Terdapat sedikit perbezaan dalam perlakuan Rasulullah SAW ketika Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Menurut Buraidah, “Rasulullah SAW tidak keluar (untuk solat Eid al-Fitr) sehingga Baginda makan, manakala pada Hari Raya Korban, Baginda tidak makan sehingga kembali dari solat, dan Baginda makan daripada sembelihannya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Majah). Ini bermaksud, Rasulullah SAW tidak makan sebelum menunaikan solat sunat Eid al-Adha, dan Baginda SAW akan makan selepas menyempurnakan solat dan ibadah korban, serta makan daging korban tersebut.
Berkaitan dengan ibadah korban, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban ini. Masa yang ditetapkan untuk melaksanakan ibadah ini ialah pada Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat hari raya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Demikianlah sedikit perkongsian ringkas tentang pemanfaatan peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita dalam bulan Zulhijjah. Sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT, maka peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja. Orang Islam yang beriman akan sentiasa berusaha merebut peluang yang diberikan oleh Allah SWT serta akan terus melaksanakan amal kebaikan pada waktu-waktu yang lain.
Sebenarnya, peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini merupakan satu medan untuk mendidik jiwa dan mentarbiyah nafsu agar terus tunduk dan patuh kepada-Nya. Amal kebajikan yang kita lakukan pada bulan ini seperti memperbanyakkan zikir dan puasa, perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain kerana rahmat dan ganjaran Allah SWT itu amat luas bagi setiap hamba yang ikhlas beribadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Friday, October 28, 2011

ULASAN: Zikir, Istighfar Cara Memohon Keampunan [28 Oktober 2011-Harian Metro]

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@metro.com.my




KEHIDUPAN di dunia ini hanya menawarkan kenikmatan kepada manusia yang menyebabkan mereka sentiasa tidak puas dengannya.



Bisikan syaitan pula sedaya upaya menggoyahkan iman manusia sehingga berlaku ‘peperangan’ sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.


Sebagai manusia, kita diberi peluang seluas-luasnya untuk memilih antara satunya. Jika nafsu syaitan berjaya menundukkan manusia bermakna mereka akan hilanglah sifat kemanusiaan.

Setiap kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan seseorang ibarat titik hitam yang akan mengotori seterusnya mengeraskan hati mereka.

Maka bersegeralah memohon taubat daripada Allah dengan harapan Allah menerimanya serta mengampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dia yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kejahatan mereka...” (Surah Asy-Syura ayat 25).
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang bertaubat dari dosa, bagaikan orang yang tidak berdosa. Diceritakan bahawa Umar Al-Khattab berjalan-jalan di pinggir kota, beliau kemudian melihat seorang pemuda membawa botol yang disorok di balik bajunya lalu Umar berkata, “Wahai pemuda, apa yang engkau sorokkan di balik bajumu itu?”


Sebenarnya dia membawa arak tetapi takut untuk mengatakannya. Maka dalam hatinya berdoa, “Ya Tuhanku, jangan engkau beri aku malu di hadapan Umar, jangan engkau bukakan rahsiaku kepadanya. Aku berjanji tidak akan minum arak selamanya.”

Kemudian pemuda itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, yang aku bawa ini ialah cuka.” Lalu Umar berkata, “Cuba bawa ke sini aku lihat.” Kemudian pemuda itu mengeluarkannya dan diperiksa Umar dan ternyata memang benar arak itu bertukar menjadi cuka.


Maka lihatlah makhluk yang bertaubat kerana takut kepada makhluk saja lantas Allah menggantikan arak itu dengan cuka kerana mengetahui keikhlasannya mahu bertaubat.


Seandainya orang yang melakukan kejahatan lalu mereka bertaubat nasuha dan menyesali perbuatan dosanya itu pasti Allah s.w.t menerima taubatnya.

Begitu juga dengan sebuah lagi kisah Abu Hurairah, beliau berkata, “Pada satu malam selepas solat Isyak, aku keluar bersama Rasulullah.

Ketika berjalan aku berjumpa dengan seorang wanita dia berkata, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya aku sedang melakukan dosa. Apakah aku masih boleh bertaubat?”


Kemudian aku tanya dia, “Apakah dosamu itu?” Dia berkata, “Aku berzina dan membunuh anakku hasil perbuatan zina itu.” Lalu aku bertanya kepadanya, “Terlaknatlah engkau. Terlaknatlah engkau. Demi Allah, taubatmu tidak akan diterima.”

Lalu wanita itu keluar dengan hati sedih. Maka aku terfikir dalam hatiku, mengapakah aku berfatwa? Sedangkan Rasulullah berada di samping kami. Maka aku segera menemui baginda.


Lalu baginda berkata, “Engkau sudah salah. Apakah engkau tidak mendengar ayat ini: “Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak pula membunuh manusia yang diharamkan Allah, kecuali dengan kebenaran dan tidak pula mereka berzina. Barang siapa yang membuat demikian, nescaya akan menemui dosa (seksa). Dilipat gandakan seksa untuknya pada hari kiamat dan kekal di dalamnya serta terhina. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman lagi beramal soleh. Maka Allah akan mengganti kejahatan mereka dengan kebaikan.Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).

Kemudian aku keluar dan berkata, “Siapa boleh menunjukkan kepadaku wanita yang bertanya masalah kepadaku?” Lalu anak-anak berkata, “Dia sudah gila wahai Abu Hurairah!”


Namun, aku cari dia sampai jumpa dan akan khabarkan kepadanya bahawa taubatnya masih diterima. Lalu dia menjerit kegirangan sambil berkata, “Aku ada kebun. Maka aku akan sedekahkan ia kerana Allah dan Rasul-Nya.”

Antara syarat taubat ialah bersegera meninggalkan dosa, menyesal dengan apa yang berlaku dan bertekad tidak akan mengulangi kembali perbuatan itu lagi.

Kita hendaklah meninggalkan dosa kerana Allah dan bukannya kerana ada sebab lain. Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan kemudian mereka segera bertaubat.

Sebahagian ulama menyatakan tiada kepastian sama ada taubat seseorang itu diterima atau tidak tetapi ia tanda-tandanya boleh dikesan. Bagi mereka yang diterima taubatnya sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan maksiat seolah-olah dalam hati mereka tiada kegembiraan selain mengingati Allah selain sering bergaul dengan orang-orang soleh serta menjauhi golongan fasik.


Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, taubat itu satu kewajipan kerana manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.
“Kesalahan itu berlaku sama ada antara manusia dengan manusia atau kesalahan antara manusia dengan Penciptanya.

“Apa yang pasti, apa saja kesalahan yang dilakukan manusia, selain daripada menyekutukan Allah maka pintu keampunan amat luas. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar, ayat 53).

“Semua perkara bergantung sepenuhnya atas restu dan rahmat Allah s.w.t namun, peluang terbentang luas ini ada pengakhirannya. Di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah secara jelas menunjukkan pintu taubat Allah tertutup sekiranya seseorang hamba hampir menemui ajalnya.

“Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 18).

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir dengan ajal).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

“Meskipun pengampunan Allah itu amat luas namun, Islam menggalakkan hambanya bersegera menginsafi kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, taubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana manusia tidak diberi pengetahuan mengenai tarikh kematian dan tarikh sebenar berlakunya Kiamat.

“Sekiranya seseorang Muslim menyedari kesilapan yang dilakukan, janganlah ditangguh urusan memohon keampunan daripada Allah.

“Sebahagian ulama menyatakan, untuk mendidik diri sentiasa berwaspada dalam setiap perbuatan supaya tidak melakukan kemungkaran mesti sentiasa ingat mati,” katanya.

Menurutnya Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyad al-Salihin menyatakan ulama berpendapat amalan bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib.

“Namun, taubat yang sebenar-benarnya bukanlah sekadar berdoa kepada Allah s.w.t supaya kesalahan yang dilakukan diampuni tetapi taubat perlu dilakukan bersungguh-sungguh semata-mata mahu mencapai keredaan Allah.

“Ia datang dari hati tanpa sebarang paksaan dan dibuat-buat. Inilah yang disebut sebagai “Taubat Nasuha”. Ibnu Kathir menyebut bahawa taubat nasuha sebagai taubat yang benar-benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut ia taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu.

“Al-Kalabi menyatakan bahawa maksud taubat nasuha ialah beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata sebahagian ulama menggariskan beberapa syarat taubat untuk mencapai taubat nasuha antaranya berhenti melakukan maksiat kepada Allah, menyesali perbuatan dosa yang dilakukan, berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu selama-lamanya.

“Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, maka ia perlu diselesaikan. Contohnya, seorang mencuri harta seseorang yang lain, maka harta yang dicuri itu wajib dikembalikan kepada tuannya.

“Begitu juga apabila seseorang menuduh atau memfitnah seseorang yang lain, maka dia wajib memohon maaf atas segala perbuatan jahatnya itu,” katanya.

Beliau berkata amalan berzikir atau beristighfar adalah antara cara yang boleh dilakukan bagi memohon keampunan daripada Allah.

“Beristighfar wajar dijadikan amalan harian seperti mana yang dilakukan Rasulullah. Zikir “Sayyid al-Istighfar” (Penghulu istighfar) sewajarnya dijadikan amalan harian, pada setiap masa.

“Setiap kesalahan dan dosa yang pernah kita lakukan seharusnya menjadi rahsia dalam diri kita sahaja. Tidak perlu dihebahkan atau diceritakan segala dosa silam yang pernah kita lakukan kepada orang lain.

“Hal ini penting, demi menjaga maruah dan aib diri sendiri pada masa akan datang. Tidak mustahil, pada masa akan datang ketika kita sudah insaf dan bertaubat ia diungkit kembali oleh orang yang pernah mendengar kisah silam kita.

“Justeru, maruah diri mestilah dijaga dan tidak perlu dihebahkan dosa dan kesalahan yang lalu. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah mengadu dan ceritakanlah salah silap kita di hadapan Allah dengan rasa penuh insaf dan mengharapkan keampunan-Nya.

“Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah s.w.t menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Maidah, ayat 39).

ULASAN: Adab Kunjungi Rumah Terbuka [9 September 2011-Harian Metro]


Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my




SETIAP kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara ‘eksklusif’.
Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu jemputan.
Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.

Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan. Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia.


Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.





Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.

Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali
rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan persaudaraan.

Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.

Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak bermakna kita boleh ‘menyerbu’ rumah jiran kita sesuka hati.

Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan rumah dan waktunya pula sesuai.

Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.

Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak pulang, jangan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima kasih kepadanya atas jemputan itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antaramu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat ayat 13).

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat terserlah.

Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya.

Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati memeluk Islam.

Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau bangsa.

“Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.

“Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.

“Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu yang hadir.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga hingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)” (Hadis Riwayat Muslim).

“Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul. Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.

“Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi peluang kepada kita bertemu,” katanya.

Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan hubu�ngan baik dengan masyarakat bukan Islam.

“Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.

“Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.

“Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir.

“Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.

“Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan, penganjur tidak boleh ‘memilih bulu’ dengan menjemput tetamu di kalangan yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya,” katanya.