Saturday, February 19, 2011

Antara Yusuf al-Qaradawi Dan Puisi Arab


Pada hari Juma'at tanggal 18 Februari 2011, terpahat dalam lipatan sejarah apabila buat pertama kalinya Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyampaikan khutbah Juma'at di Dataran al-Tahrir, Mesir, bumi kelahirannya.

Sejak 3 dekad yang lalu, beliau diharamkan oleh Hosni Mubarak daripada menyampaikan khutbah, ceramah agama mahupun tazkirah di bumi Anbiya' itu. Kali terakhir beliau menyampaikan khutbah Juma'at di Mesir sekitar tahun 1981. Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi hidup terbuang dari negaranya sendiri, sedangkan beliau mendapat sanjungan tinggi di negara orang. Apa yang menarik, Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi kebiasaannya akan memetik potongan bait syi'r dalam khutbahnya.

Dalam khutbah Juma'atnya tadi, beliau memetik bait syi'r seorang penyair terkenal dari Tunisia iaitu Abu al-Qasim al-Shabi (1909-1934 M) yang berbunyi:

"إذا الشعب يوما أراد الحياة # فلا بد أن يستجيب القدر"

Maksudnya: "Jika sesuatu bangsa itu mahukan kehidupan seharian # Maka semestinya mereka perlu menanggapi takdir".

Bait ini merupakan bait pertama bagi qasidahnya yang terkenal bertajuk "إرادة الحياة" yang bermaksud "Keinginan Untuk Hidup". Qasidah ini telah dihasilkan oleh Abu al-Qasim al-Shabi pada tanggal 16 September 1933. Ia merupakan antara qasidah terkenal dalam dunia Kesusasteraan Arab Moden.

Qasidah ini dihasilkan dengan satu tujuan iaitu untuk menaikkan semangat warga Tunisia bagi menuntut kemerdekaan negara tersebut. Begitu kental semangat juang Abu al-Qasim al-Shabi dalam memperjuangkan hak bangsanya. Namun, takdir Allah SWT mengatasi segalanya, beliau meninggal dunia dalam usia yang muda - 34 tahun - kerana menghidap sakit jantung. Hakikatnya, bait syi'r di atas menepati firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd, ayat 11:

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (sendiri)."

Demikianlah peri pentingnya sesuatu bangsa itu mencorak perubahan ke arah kebaikan. Apa yang ditegaskan oleh Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi bahawa kejayaan menjatuhkan regim Hosni Mubarak dilandaskan atas usaha gigih dan ikhlas golongan pemuda Mesir yang menuntut hak mereka, setelah ditindas sekian lama.

Semangat inilah juga yang ditunjukkan oleh penyair muda Tunisia Abu al-Qasim al-Shabi dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan ke atas Tunisia. Secara jelas, keadaan ini menunjukkan betapa seharusnya golongan muda belia Muslim memanfaatkan tenaga dan semangat juang mereka ke arah kebaikan. Bukannya menghabiskan masa muda dengan keseronokan sehingga alpa dengan buaian musuh Islam yang mahukan umat ini lenyap dari muka bumi.

Hebatnya Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam pengucapannya. Seni sastera khususnya syi'r tidak lekang dari bibirnya.

Beliau juga memiliki sebuah antologi puisi sendiri. Jangan ditinggalkan seni sastera kerana ia ada fungsinya yang unik dan tersendiri jika digunakan pada saluran yang betul.



~Inilah naskhah antologi puisi karangan Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi~




Wednesday, February 16, 2011

Kitalah Penyambung Tugas Rasulullah SAW!


Semalam, kita memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Dalam suratkhabar hari ini, kelihatan setiap negeri, daerah, mukim malah kampung atau qaryah di seluruh pelusok negara menyambut hari Maulid al-Rasul SAW.

Seharusnya, hari tersebut menjadi titik permulaan bagi setiap individu Muslim untuk terus menyanjung serta mengikuti keperibadian Rasulullah SAW. Adalah amat malang bagi umat Islam apabila kita hanya mengkhususkan satu hari tersebut untuk memperingati Rasulullah SAW dan melupakan Baginda SAW pada hari-hari seterusnya.

Rasulullah SAW mempertaruhkan seluruh jiwa dan raganya buat memastikan bahawa tiada seorang pun kalangan umatnya yang menderita di neraka kelak.

Pelbagai usaha dilakukan oleh Rasulullah SAW demi memastikan impiannya tercapai. Baginda SAW sanggup mempertaruhkan nyawanya tatkala mempertahankan Islam, agar generasi mendatang, generasi kita hari ini merasai nikmat Islam dan Iman...alhamdulillah.

Setiap perkataan, perlakuan mahu pun pengakuan (taqrir) Baginda SAW menjadi hujah kepada halal atau haramnya sesuatu perkara. Semuanya telah jelas, hanya manusia yang angkuh lagi degil sahaja yang sengaja menutup mata dan hati mereka untuk menerima ketetapan Rasulullah SAW, yang sebenarnya datang dari Yang Maha Esa.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW tidak menyatakan pendiriannya dalam sesuatu perkara melainkan semuanya merupakan wahyu dari Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Qur'an yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan Dia (Allah) akan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (surah 'Ali 'Imran, ayat 31)

Memang benarlah bahawa Rasulullah SAW itu dipandu oleh wahyu Ilahi, tidak sedikit pun yang ditambahnya mahu pun disembunyikan. Begitulah sifat "al-tabligh" atau "menyampaikan", yang ada dalam diri Rasulullah SAW.

Oleh itu, saya menyeru pada diri saya terutamanya, dan sahabat-sahabat pengunjung blog saya ini, marilah sama-sama kita berusaha sedaya mungkin menyambung tugas Rasulullah SAW yang sememangnya Baginda SAW bermati-matian melakukannya.

Rasulullah SAW tidak bermati-matian menyeru umatnya menyimpan janggut, memakai serban, bercelak mata, beristeri empat dan sebagainya. Meskipun terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah bahawa perkara-perkara ini dianjurkan oleh Rasulullah SAW, namun Baginda tidak mewajibkannya atau seperti yang saya katakan tadi, Baginda SAW tidak bermati-matian menyeru umat manusia ke arah itu.

Apakah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar? Tidak lain, tidak bukan ialah "berdakwah ke jalan Allah". Kerja "dakwah" ini dilakukan oleh Rasulullah SAW sejak detik pertama Baginda SAW menerima wahyu Ilahi yang pertama.

Sehingga Rasulullah SAW wafat, perkara inilah yang menjadi misi Rasulullah SAW, dan diteruskan oleh para sahabat dan golongan salaf al-salih.

Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab meneruskan sunnah Rasulullah SAW ini, mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing. Paling kurang, jagalah, perbaikilah tingkah laku dan kata-kata kita kerana sesungguhnya ia mencerminkan keperibadian Muslim sejati dan hakiki.

Kita sedang diperhatikan oleh golongan bukan Islam di luar sana. Mana mungkin mereka tertarik dengan Islam jika keperibadian umat Islam penuh dengan kecacatan dan kehinaan. Berbohong, fitnah-menfitnah, mencuri, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, bersangka buruk sesama manusia, tidak menepati janji, pecah amanah, rasuah, semuanya ini WAJIB kita elakkan demi menjamin kelestarian dan keunggulan Islam yang telah sekian lama ditatang oleh Rasulullah SAW.

Janganlah kita perlekehkan usaha gigih Rasulullah SAW yang telah pergi meninggalkan kita semua. Jangan kita jadi orang yang membuka ruang fitnah untuk Islam dihina oleh orang lain.

Inilah tanggungjawab yang perlu kita fikirkan dan perjuangkan bersama. Sesungguhnya setiap individu Muslim ada peranannya yang tersendiri dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW ini. Jangan dimulut kata "sayang Rasulullah", tapi tindakan kita dikira menghina Rasulullah secara tidak sedar.




Thursday, February 3, 2011

Hadapi Ujian Dengan Sabar Dan Reda

Dugaan Allah SWT ke atas tiap hambaNya, pasti disertakan dengan hikmah dan pengajaran. Inilah yang harus dipegang oleh setiap hambaNya yang benar-benar bertakwa. Suka atau tidak, kita harus pujuk hati untuk reda atas ketetapan Ilahi. Moga rahmat dan bantuan Allah SWT menyusul tidak lama lagi.


Keadaan rumah jiran saya yang terletak di hadapan rumah Ayahanda dan Bonda. Saya amat rapat dengan keluarga ini. Semasa kecil, saya kerap bertandang ke rumah ini. :)

Banjir yang melanda kampung saya di Segamat Johor, turut singgah di teratak Ayahanda dan Bonda. Air bah yang naik dengan begitu pantas, hampir mencecah bumbung rumah. Alhamdulillah, semuanya selamat. Barang-barang rumah, kebanyakannya sempat diletakkan di loteng rumah.

Dikhabarkan banjir yang melanda kampung saya kali ini, lebih besar berbanding banjir yang melanda tahun 2006 satu masa dulu. Kita merancang, Allah SWT juga merancang, sesungguhnya perancangan Allah SWT itu maha hebat.

Alhamdulillah, banjir telah surut, dan kerja-kerja mencuci rumah sedang giat dilakukan oleh ahli keluarga saya. Moga mereka tabah menghadapi ujian Allah SWT yang sekelumit cuma ini.

Percayalah, di sana ada hikmah yang bakal tiba, iaitu bagi mereka yang sabar dan reda atas ujian Allah SWT ini. Hakikatnya, keadaan tidak semudah menutur kata-kata, namun kelebihan dan maqam yang tinggi bagi mereka yang berjaya melepasi ujian Ilahi ini.

Allah al-Musta'an.

Monday, January 31, 2011

Doa Yang Tak Putus Buat Dania...

Minggu ini semacam banyak perkara yang perlu saya runsingkan. Kelmarin saya diberitahu oleh Bonda yang sepupu saya Siti Arisya Dania dimasukkan ke Hospital Segamat.

Doktor memberitahu, pemeriksaan awal menunjukkan kemungkinan si kecil ini menghadapi masalah "buah pinggang".

MashaAllah, inilah sedikit dugaan yang telah ditetapkan oleh Allah buat kami sekeluarga.

Dania memang rapat dengan saya. Patut la sejak kebelakangan ni, saya pasti rindukan dia, setiap dua hari sekali, pasti hendak mendengar celotehnya.

Kini, setiap pagi, petang dan malam, saya harus menelefon Dania. Menanyakan khabar dan membuat pesanan agar kerap makan ubat.

Kepetahannya bercakap tiba-tiba jadi berkurangan, sentiasa menangis dan tak lalu makan.

Pemeriksaan doktor memberitahu, sample air kencing Dania mengesahkan dia mempunyai masalah yang nama saintifiknya dikenali sebagai AGN : Sila lihat pautan ini: (http://www.nephrologychannel.com/agn/index.shtml)

Sebagai ayah dan ibu, sememangnya sedih dan lemah semangat menyelubungi diri. Siapa yang tak sayangkan anak???
Namun, saya menasihati ayah dan ibu Dania yang merupakan pakcik dan makcik saya, agar sama-sama sabar dan berdoa agar Dania cepat sembuh.

Jangan menangis di depan Dania, kerana perbuatan itu bakal membuatkan Dania turut menangis dan rasa lemah.

Ubat itu adalah penawar penyakit, namun KUAT SEMANGAT juga memainkan peranan yang besar dalam proses penyembuhan penyakit, di samping doa yang tak putus-putus.

Selagi ada ruang dan peluang, kita sama-sama berikhtiar sehabis mungkin untuk sembuhkan Dania.

Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji seseorang hamba, sekiranya si hamba tadi tidak mampu untuk menanggungnya.

Setiap kali saya menelefon Dania, pasti ungkapan ini yang ditanya: "Abang Rizal, bila nak balik? Bila nak bawak baby jalan-jalan. Baby rindu Abang Rizal ni..." :)




Tuesday, January 25, 2011

Tulisan Kita, Tanggungjawab Kita


Saya ada terbaca catatan seorang penulis prolifik dalam sebuah blog, beliau mendapat "durian runtuh" hasil tulisan kreatifnya. Bayangkan, si penulis boleh dapat ratusan ribu ringgit setiap tahun. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Pasti bagi mereka yang mempunyai bakat menulis, akan rasa teruja dan bersemangat untuk turut serta dalam perlumbaan menghasilkan karya kreatif masing-masing.


Namun, dengan rendah diri, saya tegaskan bahawa tugas yang dipikul oleh seorang penulis itu amat besar. Dia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang ditulis dan dicoretkan dalam karya tersebut.

Tambahan pula bagi penulis yang mempunyai kelompok peminat yang tersendiri dan jumlahnya jutaan orang. Maka semakin besar tanggungjawab yang dipikul oleh si penulis.


P
endapat saya ini bukan satu ugutan, bukan juga satu ungkapan yang berniat untuk mematikan semangat para penulis sekalian! Namun, saya ingin mengajak para penulis agar sama-sama berfikir dan melakukan muhasabah di atas setiap kerja yang telah dilakukan. Hal ini secara langsung dapat memperbaiki mutu isi yang terkandung dalam karya kreatif tersebut.


~Sekadar gambar hiasan~

Usah sekadar ghairah dalam menghasilkan karya kreatif tanpa menitik-beratkan soal kandungan atau isi yang ditonjolkan dalam karya tersebut.

Oleh kerana keghairahan segelintir penulis yang mahukan kelainan, maka dilabel karyanya sebagai "Karya Sastera Islam", ditonjolkan ISLAM sebagai jenama yang menyejukkan mata yang memandang, walhal isinya menyimpang daripada ajaran Islam.


Melihat pada beberapa tajuk novel "Islam", khususnya yang menulis berkaitan "cinta Islamik", perkataan-perkataan seperti bidadari syurga, tahajjud, tasbih, Ilahi, tasawuf, Nabi, jihad dan beberapa lagi digunakan sebagai tajuk novel, bagi menyerlahkan "keislaman" novel tersebut. Apabila dibaca dengan teliti, si penulis tidak langsung mencerminkan tuntutan dan garis panduan Islam dalam hubungan "cinta" sesama manusia.

Apakah penulis betul-betul faham akan konotasi maksud perkataan-perkataan tersebut dalam Islam? Adakah penulis telah berhati-hati dalam mentakwilkan makna setiap perkataan itu? Adakah para pembaca bakal memahami perkataan-perkataan tersebut dalam konteks sebenar? Adakah penulis mematuhi adab-adab menggunakan perkataan-perkataan tersebut? Seperti BIDADARI SYURGA, bagaimana penulis memberi gambaran tentang istilah ini? Adakah menyamai dengan apa yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an?

Terdapat juga, para penulis yang giat memasukkan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah SAW dalam tulisan mereka, namun sebenarnya kutipan-kutipan daripada dua sumber agung Islam itu telah dimanfaatkan dengan cara yang salah.

Sebagai contoh, pemanfaatan ayat al-Qur'an dalam apa juga bidang harus meraikan banyak aspek seperti al-Makki wa al-Madani, al-Qira'at al-Qur'aniyyah, al-nasikh wa al-mansukh, asbab al-nuzul dan banyak lagi. Kesemua aspek ini saling melengkapi antara satu sama lain bagi mengetahui makna ayat al-Qur'an tersebut dengan tepat.

Aspek-aspek ini jugalah yang menjadikan al-Qur'an itu sebuah Kitab Suci yang unggul, sesuai dengan martabatnya sebagai Kal
amullah dan mukjizat Rasulullah SAW.

Oleh itu, setiap penulis seharusnya betul-betul faham tentang perkara-perkara ini kerana ia membabitkan pemahaman khalayak pembaca terhadap ilmu atau manfaat yang berfakta, lebih-lebih lagi fakta yang melibatkan wahyu Ilahi. Penulis tidak sewajarnya mengambil pendekatan "copy" and "paste" dalam memanfaatkan ayat-ayat suci al-Qur'an dalam karya kreatif mereka.

Jika penulis melakukan kesalahan, dengan sedar, ditambah pula dengan ilmu yang tidak tepat atau tidak mencukupi, maka dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesalahan tersebut.

Marilah sama-sama kita renungkan perkara ini serta mengambil perhatian yang serius kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia, pastinya akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat sana.

Jadilah penulis yang ikhlas dengan membawa khalayak pembaca menuju reda Ilahi. Jika selepas membaca hasil karya tersebut, khalayak tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan fakta yang salah atau songsang, maka hasil royalti yang diterima bakal menjadi hujah jelas terhadap kesalahan yang dilakukan.

Allah al-Musta'an.



Sunday, January 23, 2011

Terima Kasih Buat Semua Yang Berbudi

Alhamdulillah, hari ini genaplah usia saya mencapai 26 tahun. Puji dan puja itu semuanya untuk Allah SWT yang telah menganugerahkan usia saya sehingga kini. 26 tahun satu jangka masa yang lama serta secara logiknya, banyak pahala dan dosa yang terkumpul dalam lingkungan masa tersebut.

Kepada Ayahanda dan Bonda yang banyak berkorban untuk saya, sejambak doa tulus dari anakanda moga Ayahanda dan Bonda sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah SWT. Segala jasa Ayahanda dan Bonda tidak dapat anakanda balas kecuali Allah SWT jua yang membalasnya. Moga Allah SWT mengampuni dosa-dosa Ayahanda dan Bonda tercinta.

Buat adikku Mohd Shahril Nasir serta Shazleen Nasir, abang doakan agar kalian berjaya dalam hidup masing-masing. Saat bercakaran sesama kita sepertimana semasa kecil dulu telah p
ergi. Sekarang, tugas kita amat besar untuk memastikan amanah Allah SWT untuk kita jaga, kasih serta hormat kepada Ayahanda dan Bonda sentiasa tersemat dalam diri.

Buat tiga orang insan yang banyak memberi dorongan dan semangat pada saya, namun tak sempat terus melihat keadaan saya... Allahyarham Othman Bin Alib (meninggal tahun 1997), Allahyarham Amat Bin Paijo (meninggal tahun 2008), Allahyarhamah Marsiam Bte Mansor (meninggal tahun 2007)... cucuanda mu menitip doa moga roh nendaku senantiasa dalam rahmat dan keampunan Allah SWT. Segala pesan dan nasihat nenda masih segar dalam ingatan cucuanda hingga ke saat ini.


Kepada barisan guru-guru saya selama ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru semua. Yang banyak memberi tunjuk ajar agar saya terus berjaya duniawi dan ukhrawi. Mohon dimaafkan semua salah silap saya sepanjang bergelar anak didik guru-guru sekalian. Moga Allah SWT merahmati hidup guru-guru yang saya amat hormati.


Ucapan terima kasih juga buat para ilmuan yang banyak membantu saya dalam mengharungi denai kehidupan yang lebih mencabar. Buat Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir (UKM), Prof. Dr. Ahmed Shehu Abdussalam (Illorin Uni. Nigeria), Prof. Dr. Abdul Razak Al-Sa'adi (UIA), Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf (UIA), Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad H. Osman (UIA), Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani (UPM), Prof. Madya Dr. Majdi Hj. Ibrahim (UIA), Prof. Madya Dr. Nasr El Din Ahmed Hussein (UIA), Dr. Badri Najib Zubir (UIA), Dr. Adli Hj. Yaacob (UIA), Dr. Kamarul Shukri Mat Teh (UniSZA) dan beberapa lagi yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam dunia akademik ini. Semoga semua jasa bakti termasuk dalam mizan hasanat para ilmuan sekalian.

Juga kepada insan yang banyak bersabar dengan kerenah saya, yang tak jemu memberi semangat, nasihat dan doa setiap hari. Moga hidup kita dirahmati-Nya.

Tidak lupa buat rakan-rakan saya yang sudi menjadi teman saya, yang ikhlas dalam persahabatan, yang sentiasa membantu saya dalam banyak hal, khususnya yang dapat saya sebutkan: Ilyasa Jaafar, Khairul Helmy, Izran Tugiran, Fadhli Ahmat, Ahmad Sauffy dan Soberi Zakaria. Kalian lah tempat aku berkongsi masalah hidup. Terima kasih sahabat.

Untuk anak didik saya di UIAM dan UniSZA, moga kalian menjadi "saham" tak ternilai saya di alam sana. Manfaatkanlah ilmu yang ada agar ianya tak menjadi fitnah yang akan membakar hasanat kalian pula di sana nanti. Doa saya sentiasa untuk anak didik saya yang saya kasihi.

Moga hidup yang seterusnya semakin mendapat rahmat dan petunjuk dari-Nya. Moga Allah SWT sentiasa merahmati hidup saya. Amin.

Allah al-Musta'an.



Friday, January 21, 2011

Hindar Diri Dari Sentuhan Syaitan


Sebagai manusia, sememangnya kekurangan diri sentiasa ada di sana sini. Perkara ini harus disedari oleh setiap insan. Kekurangan ini harus ditampung agar terpancar sinar kesempurnaan dalam diri, walaupun tidak secara menyeluruh.


Sifat "marah" merupakan antara kekurangan dalam diri manusia, khususnya marah yang membawa kepada kemaksiatan. Sifat marah ini, jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik, ia boleh mengundang pelbagai perkara buruk yang dahsyat.

Bukan sekadar lontaran kata-kata kesat, malah pembunuhan juga boleh terjadi akibat rasa marah yang tidak dapat dikawal.




Justeru, Islam telah menggariskan beberapa tatacara untuk menangani sifat marah, antaranya:

1. Memperbanyakkan bacaan "ta'awwuz ". Maksud ta'awwuz ialah bacaan: "أعوذ بالله من الشيطان الرجيم". Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya (marah). Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Mengubah posisi diri ketika marah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

3. Mendiamkan diri daripada terus berkata-kata ketika marah Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Apabila di antara kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Ahmad).

4. Mengambil wuduk. Hal ini merupakan saranan Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk (mengambil air sembahyang).” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

5. Memperbanyakkan mengingati Allah dengan berzikir kepada-Nya (zikrullah). Firman Allah SWT di dalam al-Qur'an yang bermaksud: “Ingatlah dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

6. Berdoa memohon agar jiwa sentiasa dipandu ke arah kebenaran dan kewarasan ketika marah. Ini terkandung dalam makna sebuah doa yang disarankan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa;i).

Begitulah serba ringkas beberapa panduan yang boleh kita praktikkan ketika berdepan dengan rasa marah. Sesungguhnya, marah itu adalah antara senjata syaitan yang ampuh buat menceburkan manusia ke dalam neraka Allah SWT.

Justeru, Rasulullah SAW memandang berat tentang perkara ini, lantas menganjurkan umatnya agar menghindari diri daripada sifat marah dengan melakukan perkara-perkara seperti yang telah disebutkan di atas.


D
aripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) telah berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,”. Baginda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari)
.

Sesungguhnya amat besar ganjaran bagi mereka yang berjaya mengawal diri daripada sifat marah. Ganjaran ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).


Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba-Nya yang sentiasa berjaya mengawal perasaan marah, sekali gus menghindarkan diri daripada masuk ke dalam perangkap syaitan laknatullah!